Drive4Paul Malaysia 2019 catat kutipan rasmi RM148,935, pecah rekod kutipan Drive4Paul Japan

Drive4Paul Malaysia 2019 catat kutipan rasmi RM148,935, pecah rekod kutipan Drive4Paul Japan

Acara perhimpunan kereta bagi memungut dana amal, Drive4Paul Malaysia 2019 telah pun berakhir pada 13 Oktober tahun lalu. Tapi berapa sebenarnya jumlah dana yang dikutip pada acara berkenaan? Hari ini pengasas Retro Havoc Malaysia, Rosli Mohamad Said yang menganjurkan acara ini dengan kerjasama 1048Style Japan telah mengumumkan secara rasmi bahawa kutipan yang berjaya mereka capai adalah RM148,935!

Menurut Rosli yang lebih senang disapa dengan nama Alie Kuoppa, jumlah ini secara tidak langsung telah memecahkan rekod yang dikutip ketika acara Drive4Paul Japan yang diadakan pada tahun 2018, yang mencatatkan kutipan sekitar RM127k.

Segala dana yang diterima ini dikutip dalam bentuk yuran pendaftaran, tapak-tapak foodtruck, pelbagai cenderamata rasmi yang dijual sepanjang acara tersebut berlangsung dan juga pelbagai lagi sumber. Seperti yang dilakukan oleh Drive4Paul Amerika Syarikat, Australia, Hong Kong dan Jepun sebelum ini, dana yang dikutip ini akan diserahkan sepenuhnya kepada badan amal tanpa sokongan kerajaan, Reach Out World Wide (ROWW).

Drive4Paul Malaysia 2019 catat kutipan rasmi RM148,935, pecah rekod kutipan Drive4Paul Japan

Alie juga turut menyatakan bahawa jumlah ini hanya boleh diumumkan hari ini setelah segala dana dari penaja dan peniaga pada acara berkenaan telah sepenuhnya diserahkan kepada ROWW pada 10 Februari lalu.

ROWW telah diasaskan oleh pelakon utama saga filem Fast & Furious, Paul Walker (yang memegang watak sebagai Brian O’Conner), dan badan ini ditubuhkan bagi membolehkan dia melakukan kerja-kerja amal dengan fokus kepada membantu mangsa-mangsa bencana alam di seluruh dunia seperti gempa bumi yang berlaku di Chile dan Haiti, puting beliung yang melanda Alabama dan ribut taufan di Filipina.

Walaupun Paul Walker telah meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya pada 20 November 2013, ROWW masih lagi wujud dan meneruskan kerja-kerja amal mereka. Justeru, acara Drive4Paul ini telah dianjurkan secara global sebagai salah satu cara untuk mengumpulkan dana, dalam masa yang sama ia diadakan bagi memperingati mendiang pengasasnya itu.

Drive4Paul Malaysia dengan jayanya telah dilangsungkan bermula pada hari Sabtu 12 Oktober 2019 dengan perhimpunan di hangar bekas Lapangan Terbang TUDM (kini dikenali sebagai Bandar Malaysia), dihadiri sejumlah 420 kereta ubahsuai dan eksotik, serta berberapa kereta-kereta replika filem FnF yang pernah dipandu Brian O’Conner, yang bukan sahaja dari Malaysia, malah terdapat juga peserta yang datang dari Thailand.

Perhimpunan tersebut turut diserikan dengan penampilan adik kepada Paul iaitu Cody Walker, yang kini meneruskan kerja-kerja mendiang abangnya itu di ROWW. Selain perhimpunan, pelbagai aktiviti lain seperti ‘taxi ride’ kereta drift serta persembahan-persembahan pentas turut berlangsung pada hari tersebut.

Selain dari menjadi acara Drive4Paul pertama yang dilangsungkan di Asia Tenggara, Drive4Paul Malaysia juga merupakan yang pertama dalam siri acara tersebut mendapat kerjasama kerajaan tempatan setelah menerima sokongan dari Institut Automotif, Robotik dan IOT Malaysia (MARii), Tourism Malaysia dan juga Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).

Acara ini diteruskan pada 13 Oktober dengan konvoi peserta dari Hotel EQ di Kuala Lumpur ke Putrajaya, dan kemudian bergerak ke Litar Antarabangsa Sepang. Drive4Paul secara rasmi ditutup pada malam berkenaan dengan sesi ‘parade’ di dalam litar berkenaan oleh kesemua kereta peserta yang berdaftar.

GALERI: Drive4Paul Malaysia 2019

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required