Drive4Paul Malaysia 2019 – beramal gaya Mat Kereta

Drive4Paul Malaysia 2019 – beramal gaya Mat Kereta

Pelbagai cara dilakukan bagi mengumpulkan dana yang besar untuk kerja-kerja amal tanpa keuntungan, antara yang popular adalah seperti menganjurkan makan malam amal dan konsert amal. Bagi ‘Mat Kereta’, bagaimana pula gayanya? Perhimpunan dan juga acara memandu seperti Drive4Paul ini adalah salah satu caranya.

Apa sebenarnya Drive4Paul ini? Bagi peminat bintang utama saga filem The Fast and The Furious, Paul Walker, anda tentu tahu bahawa selain dari seorang ‘Mat Kereta’ dalam dunia sebenar, Paul juga sebenar seorang aktivis masyarakat yang telah menubuhkan badan amal tanpa sokongan kerajaan yang di gelar Reach Out World Wide (ROWW).

Menerusi ROWW, Paul melakukan kerja-kerja amalnya dengan fokus kepada membantu mangsa-mangsa bencana alam di seluruh dunia seperti gempa bumi yang berlaku di Chile dan Haiti, puting beliung yang melanda Alabama dan ribut taufan di Filipina.

Dan kita semua tahu, Paul Walker telah meninggal dunia 20 November 2013 dalam satu kemalangan jalan raya bersama rakannya, Roger Rodas (kedua-duanya adalah pemilik bersama syarikat talaan kereta ubahsuai AE Performance), setelah Porsche Carrera GT yang dinaiki mereka hilang kawalan dan merempuh pokok serta tiang lampu.

Selepas kehilangan Paul, ROWW masih lagi beroperasi dan tugasnya kini disandang oleh adik lelakinya, Cody Walker. Sebagai salah satu cara untuk mendapatkan dana untuk kerja-kerja mereka, serta memperingati Paul, ROWW telah mengdakan acara amal Drive4Paul, dan ia telah berlangsung di Amerika Syarikat, Australia, Hong Kong dan Jepun.

Tahun lalu, pengasas Retro Havoc Malaysia, Rosli Mohamad Said atau lebih dikenali dengan nama Alie Kuoppa telah menyertai Drive4Paul Jepun, dan kemudian dia telah menyatakan hasratnya sendiri kepada Cody Walker bagi membawa Drive4Paul ke Malaysia. Ini kerana acara tersebut bukan sahaja dapat mengumpulkan dana untuk tujuan kebajikan, ia juga sebenarnya dapat memperkenalkan Malaysia dan juga budaya ubahsuai kereta tempatan kepada dunia.

Drive4Paul Malaysia 2019 – beramal gaya Mat Kereta

Maka, Drive4Paul Malaysia dengan jayanya telah dilangsungkan pada hujung minggu lalu. Acara ini bermula pada hari Sabtu 12 Oktober dengan perhimpunan di hangar bekas Lapangan Terbang TUDM (kini dikenali sebagai Bandar Malaysia), dihadiri sejumlah 420 kereta ubahsuai dan eksotik, serta berberapa kereta-kereta replika filem FnF yang pernah dipandu Brian O’Conner (nama watak Paul dalam filem tersebut), yang bukan sahaja dari Malaysia, malah terdapat juga peserta yang datang dari Thailand.

Perhimpunan tersebut turut diserikan dengan penampilan Cody Walker sendiri, dan juga pelbagai aktiviti lain seperti ‘taxi ride’ kereta drift serta persembahan-persembahan pentas.

Selain dari menjadi acara Drive4Paul pertama yang dilangsungkan di Asia Tenggara, Drive4Paul Malaysia juga merupakan yang pertama dalam siri acara tersebut mendapat kerjasama kerajaan tempatan setelah menerima sokongan dari Institut Automotif, Robotik dan IOT Malaysia (MARii), Tourism Malaysia dan juga Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).

Acara ini diteruskan pada 13 Oktober dengan konvoi peserta dari Hotel EQ di Kuala Lumpur ke Putrajaya, dan kemudian bergerak ke Litar Antarabangsa Sepang. Drive4Paul secara rasmi ditutup malam tadi dengan sesi ‘parade’ di dalam litar berkenaan oleh kesemua kereta peserta yang berdaftar.

Kesemua yuran penyertaan, duit pungutan tiket ketika perhimpunan dan juga hasil jualan-jualan barangan rasmi Drive4Paul akan disalurkan terus ke ROWW. Kami juga diberitahu bahawa Cody Walker dan rombongannya akan dibawa bercuti ke Langkawi selepas ini atas tajaan LADA, bagi tujuan promosi pelancongan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required