Semasa Harley-Davidson Malaysia mengeluarkan senarai harga model tahun 2020 pasaran Malaysia hujung tahun lalu – yang menunjukkan penurunan sehingga RM40k – model Electra Glide Standard sudah ada dalam senarai, dengan harga RM132,400. Cumanya waktu itu, tiada satu pun unit model tersebut yang boleh dilihat di pusat pameran.

Kini ia sudah tiba bersama stok untuk jualan umum, dan H-D Malaysia mengadakan satu tontonan khas untuk para media di Petaling Jaya. Electra Glide Standard adalah model Touring H-D yang paling mampu milik sekarang dan kelengkapannya lebih ringkas jika dibandingkan dengan Street Glide Special yang dijual pada harga RM169,400.

Dalam keadaan sebegitu, Electra Glide Standard memberikan peluang kepada pemilik untuk mengubah suai motosikal dan memasangnya dengan aksesori yang bersesuaian mengikut cita rasa. Seperti yang diketahui, pilihan aksesori untuk motosikal Harley-Davidson adalah sangat banyak termasuklah warna keseluruhan badan.

Walaupun dipanggil sebagai sebuah model asas, Electra Glide Standard masih mempunyai kemasan krom di beberapa bahagian, fairing ikonik untuk model ini serta rim aluminium 17 inci di hadapan dan 16 inci di belakang. Suspensi dan brek (Brembo) model ini masih sama seperti versi yang lebih tinggi, dan datang dengan sistem ABS serta cruise control.

Electra Glide Standard dikuasakan oleh enjin Milwaukee-Eight 107 yang berkapasiti 1,746 cc, bersama padanan kotak gear enam kelajuan, mampu menghasilkan tork sehingga 150 Nm pada 3,250 rpm. Berat keseluruhan model ini adalah 372 kg (termasuk bendalir) dan datang dengan tangki bahan api 22.7 liter.