Tesla dilaporkan sedang di dalam peringkat akhir perbincangan untuk menggunakan bateri daripada Contemporary Amperex Technology Co Ltd (CATL). Langkah ini bakal menyaksikan jenama itu akan menggunakan bateri baru – lithium iron phosphate (LFP) – yang tidak mengandungi kobalt, sejenis logam yang disifatkan bahan paling bahal dalam bateri kenderaan.

Penggunaan LFP ini adalah yang pertama bagi Tesla. Reuters melaporkan yang langkah itu merupakan sebahagian usaha Tesla untuk mengurangkan kos pengeluaran kenderaannya – terutama sekali Tesla Model 3 – yang dipasang di kilangnya di China. Ini juga untuk membendung penurunan jualan EV di rantau itu, yang juga masih dibayangi oleh masalah penularan wabak COVID-19.

Tesla sudah berbincang denga CATL bagi tempoh lebih setahun berkaitan hal ini. Dari segi kos, bateri LFP lebih murah untuk dikilangkan berbanding bateri sedia ada – menurut sumber, sehingga melibatkan dua digit peratusan. Tesla ketika ini menggunakan bateri nickel-cobalt-aluminium (NCA) bagi Model 3 di China, yang memberikan jarak pemanduan EV yang lebih banyak.

Satu kekurangan LFP ialah kadar density tenaga yang lebih rendah. Bagi mengatasi masalah ini, CATL sedang membangunkan teknologi cell-to-pack, yang membolehkan sel-sel disepadukan ke dalam pek tanpa menggunakan modul. Ini akan menjimatkan lagi ruang, dan jumlah density boleh ditambah untuk mencapai kadar sama seperti sebelum ini tanpa mengurangkan jarak perjalanan.