Mercedes-AMG GLA45, GLA45 S didedah – 421 hp

Mercedes-AMG GLA45, GLA45 S didedah – 421 hp

Mercedes-Benz telah menunjukkan versi paling ganas bagi crossover kompak GLA, iaitu Mercedes-AMG GLA 45 4Matic+ dan Mercedes-AMG GLA 45 S 4Matic+. Menggunakan asas daripada GLA H247 yang dibina atas platform MFA2, versi AMG ini dipacu oleh enjin petrol empat silinder turbo 2.0 liter sama seperti Mercedes-AMG A 45 dan A 45 S.

Enjin M139 1,991 cc ini mampu menghasilkan kuasa 387 hp pada 6,500 rpm dan 480 Nm tork antara 4,750 rpm hingga 5,000 rpm bagi GLA 45, dan 421 hp pada 6,750 rpm dan 500 Nm tork antara 5,000 rpm hingga 5,250 rpm pada GLA 45 S. Kedua-dua versi menggunakan transmisi klac berkembar AMG Speedshift DCT 8G serta sistem pacuan semua roda variable 4Matic+ AMG Performance.

Dengan padanan ini, GLA 45 boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 4.4 saat, dengan laju maksimum 250 km/j, manakala GLA 45 S pula mampu melakukan pecutan sama dalam masa 4.3 saat dan laju maksimum 270 km/j. Tahap penggunaan bahan api bercampur bagi GLA 45 berada pada 9.2 l/100 km manakala GLA 45 S pula 9.3 l/100 km.

Mercedes-AMG GLA45, GLA45 S didedah – 421 hp

Sama seperti A45 W177 dan CLA45 C118, GLA 45 ini juga menggunakan sistem AMG Torque Control, yang boleh membahagikan kuasa berbeza bukan sahaja antara roda depan dan belakang, tetapi juga antara roda kiri dan kanan. Enjin model 45 ini juga telah dipusingkan 180 darjah berbanding model 35 bagi menjadikan salur intake dan ekzos lebih pendek.

Dengan kuasa yang lebih tinggi ini, Mercedes-AMG telah memperkuatkan badan GLA 45 dengan barangan seperti plet aluminium bawah enjin, serta pendakap hadapan dan belakang di bawah kereta. Selain membantu meningkatkan ketegaran, ia juga dapat mengurangkan pergerakan badan apabila berhadapan pecutan atau membrek dengan kuat.

Untuk suspensi, bahagian hadapan menggunakan tetapan MacPherson sementara di belakang pula menggunakan sambungan four-link. Tiga tahap kekerasan penyerap ditawarkan melalui sistem adaptif AMG Ride Control dan ia boleh dilaras secara automatik dan berasingan antara semua empat penyerap yang ada.

Mercedes-AMG GLA45, GLA45 S didedah – 421 hp

Model asas GLA 45 menggunakan tetapan brek cakera berliang 350 mm x 34 mm dan angkup empat piston di hadapan, serta cakera 330 mm x 22 mm bersama angkup satu piston di belakang (angkup warna kelabu), manakala GLA 45 S serta GLA 45 dengan pakej AMG Dynamic Plus datang dengan cakera 360 mm x 36 mm serta angkup enam piston di hadapan (berwarna merah). Rim GLA 45 bersaiz 19 inci manakala GLA 45 S pula 20 inci; unit 21 inci disediakan sebagai pilihan tambahan.

Stereng model ini menggunakan unit elektromekanikal yang sensitif terhadap kelajuan dan mempunyai nisbah boleh ubah. Ia boleh menjadi berat atau lebih ringan, bergantung kepada mod pemanduan yang dipilih (semuanya ada enam mod bagi GLA 45 S iaitu Slippery, Comfort, Sport, Sport+, Individual dan Race). Perubahan mod ini juga berhubung dengan parameter enjin, transmisi, ekzos, stereng serta suspensi.

Masuk ke bahagian dalam, sistem infotainmen MBUX yang digunakan mendapat visual khas AMG, dengan pilihan paparan Classic, Sport atau Supersport. Menu AMG yang terdapat dalam sistem itu boleh memaparkan penunjuk kelajuan gear, warm-up, set-up, meter G, Racetimer dan data enjin.

Mercedes-AMG GLA45, GLA45 S didedah – 421 hp

Ia diberikan sebagai tambahan kepada fungsi kawalan suara ‘Hey Mercedes’ yang boleh digunakan untuk sistem infotainmen dan beberapa sistem lain. Perisian AMG Track Pace diberikan terus pada GLA 45 S, manakala untuk GLA 45, ia disediakan sebagai pilihan tambahan. Dengannya, pemilik boleh memerhati prestasi dalam litar termasuk pecutan, laju dan pelbagai lagi.

Selain membaca serta menyimpan ukuran pecutan dan kadar kenderaan diperlahankan, AMG Track Pace juga boleh mengesan sekiranya kenderaan telah keluar dari litar atau mengambil jalan singkat dengan menggunakan data GPS, pecutan, kadar pusingan stereng serta kelajuan roda. Fungsi MBUX Augmented Reality pula boleh menunjukkan garis lumba yang ideal pada skrin atau head-up display.

Pada model standard, ia menggunakan kemasan balutan kombinasi kulit sintetik Artico dan gentian Dinamica, sementara model GLA 45 S pula menggunakan balutan kulit Nappa pada roda stereng dan Dinamica dengan jahitan kontras di bahagian lain.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya 'mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required