Mercedes-AMG A45 S muncul di Goodwood – 2.0L turbo, 421 PS/500 Nm, 0-100 km/j 3.9 saat, boleh drift!

Mercedes-AMG A45  S muncul di Goodwood – 2.0L turbo, 421 PS/500 Nm, 0-100 km/j 3.9 saat, boleh drift!

Model yang paling ditunggu-tunggu dalam segmen hot-hatch tahun ini kini sudah pun rasmi didedahkan – Mercedes-AMG A45 generasi baharu membuat kemunculan sulungnya di acara Goodwood Festival of Speed, UK. Berbeza dengan model W176 sebelum ini yang hadir dengan varian janakuasa tunggal, model W177 hadir dengan dua versi talaan enjin iaitu varian standard A45 dan yang paling liar A45 S.

A45 sememangnya dikenali dengan enjin M133 2.0 liter yang menghasilkan angka kuasa standard yang tidak masuk akal – 381 hp/475 Nm, jadi berapa pula kuasa yang akan diekstrak dari enjin empat silinder 2.0 liter turbo baharu M139 pada A45 W177 ini? Untuk model standard, ia menjana 387 hp dan tork maksima 480 Nm, manakala versi A45 S pula menghasilkan kuasa lebih liar dengan 421 PS dan tork maksima 500 Nm, menjadikan ia sebagai enjin 2.0 liter produksi paling berkuasa buat masa sekarang!

Bagaimana Mercedes-AMG dapat memerah begitu banyak ‘jus kuasa’ dari enjin yang hanya berkapasiti 2.0 liter, dan ia boleh dihenyak setiap hari ini? Pertama sekali, kedudukan enjin baharu ini telah diterbalikkan 180 darjah, bermaksud manifold kemasukan kini berada di hadapan, manakala pengecas turbo pula berada di belakang berhampiran firewall.

Rekaan ini membolehkan udara yang disedut lebih cepat sampai ke manifold kemasukan, manakala gas ekzos juga lebih untuk mengalir kebelakang. Ia juga membolehkan bonet direka lebih rendah dan memberikan kesan aerodinamik lebih baik pada bahagian hadapan.

Mercedes-AMG A45  S muncul di Goodwood – 2.0L turbo, 421 PS/500 Nm, 0-100 km/j 3.9 saat, boleh drift!

Enjin M139 ini turut menerima pengecas turbo twin scroll baharu yang kini menggunakan galas bebola (roller bearing) pada syaf turbin bagi mengurangkan kadar geseran. Menurut Mercedes-AMG, pengecas turbo tersebut kini lebih responsif, dan putaran setinggi 169,000 rpm boleh dicapai dalam masa lebih singkat.

Selain menggunakan minyak pelincir dan air, pengecas turbo tersebut turut disejukkan oleh oleh udara segar menerusi paip saluran yang dibina khas untuknya, menerima suapan udara terus dari gril. Boost maksima yang diterima dari turbin berkenaan pula dikawal oleh wastegate elektronik yang dapat berfungsi dengan lebih tepat berdasarkan bacaan tekanan caj udara, posisi injap pendikit dan kemungkinan untuk berlakunya knocking. Boost maksima standard yang ditetapkan adalah pada tahap 2.1 bar (1.9 bar untuk versi standard)!

Jurutera Mercedes-AMG juga telah merubah semula sudut penyuntik bahan api dan palam pencucuh pada kebuk pembakaran. Kepala silinder tersebut juga kini dilengkapi dengan injap ekzos yang lebih besar, bagi membolehkan gas ekzos keluar dengan lebih efisien. sekaligus menghasilkan respon lebih baik.

Selain itu, enjin ini dibina dengan rekaan blok close deck, silinder omboh yang disalut bahan nanoslide dan juga takung minyak pelincir yang dibuat dari bahan aluminium sepenuhnya. Bagi membolehkan ia sentiasa berada pada suhu operasi yang optimum, pam air elektrik dibekalkan pada sistem penyejukkan, bersama tambahan unit radiator kedua yang diletak di belakang ruang roda hadapan untuk membantu radiator utama di bahagian hadapan.

Mercedes-AMG A45  S muncul di Goodwood – 2.0L turbo, 421 PS/500 Nm, 0-100 km/j 3.9 saat, boleh drift!

Enjin ini ditala bagi membolehkan tork maksima dicapai pada 5,000-5,250 rpm (4,750-5,000 untuk versi standard), membolehkan responnya dirasakan seperti sebuah enjin tanpa turbo berkapasiti besar. Tahap redline enjin juga kini lebih tinggi, ditetapkan pada 7,200 rpm. Seperti biasa, setiap satu enjin AMG yang dihasilkan di Affalterbach ini dipasang hanya oleh seorang pakar dengan prinsip “satu enjin, satu orang”.

Enjin tersebut digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik lapan-kelajuan AMG Speedshift 8G, dan kuasa dialirkan ke kesemua roda menerusi sistem pacuan semua roda 4Matic. Ini membolehkan model standard memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4 saat, dan versi A45 S pula 0.1 lebih pantas untuk jarak pecutan sama. Kelajuan maksima untuk A45 biasa dihadkan secara elektronik pada 250 km/j, manakala A45 S pula boleh mencapai 270 km/j. Pembeli A45 biasa turut boleh menikmati kelajuan 270 km/j sekiranya memilih pakej AMG Driver.

Seperti yang didedahkan pada teaser sebelum ini, A45 generasi baharu ini hadir dengan ‘Drift Mode’ membolehkan ia menggelangsar seakan kereta rali. Mod berkenaan dapat dihasilkan menerusi teknologi yang digelar AMG Torque Control. Menerusi teknologi ini, A45 dibekalkan dengan gandar belakang baharu yang dilengkapi klac pelbagai cakera.

Dengan gandar baharu tersebut, tork dari enjin kini bukan sahaja dapat dibahagikan dengan tepat berdasarkan situasi antara gandar hadapan dan belakang, malah ia turut boleh dibahagikan secara berasingan kepada roda kiri dan kanan pada bahagian belakang.

Jadi karekter pembahagian tork akan berubah mengikut talaan mod pemanduan yang dipilih oleh pemandu. ‘Drift Mode’ tersebut diletakkan pada talaan ‘RACE’ (ESP dimatikan, dan transmisi hanya beroperasi secara manual), dan sekiranya diaktifkan, pemandu dapat melakukan aksi powerslide dengan mudah dengan kawalan dibantu oleh komputer.Walau bagaimanpun, model standard tidak diberikan fungsi ini, tetapi pembeli tetap boleh memilihnya dengan bayaran tambahan.

Kerangka model generasi baharu ini juga telah diperkuatkan lagi, dengan pemandangan plat aluminium di bawah enjin bagi meningkatkan ketegaran torsi pada bahagian hadapan. Ia juga dibantu oleh strut tower brace yang menghubungkan bahagian atas kedua-dua belah suspensi hadapan. Satu lagi plat pengukuh diberikan pada tiang-A bagi memberikan lebih kestabilan pada bahagian hadapan.

Untuk suspensi, bahagian hadapan diberikan topang Mcherson dan juga sistem bebas sepenuhnya dari jenis four link pada bahagian belakang. Secara standard, ia hadir dengan penyerap hentak pasif biasa, Tetapi dengan bayaran tambahan, anda boleh memadankan suspensi aktif AMG Ride Control.

Stereng jentera liar ini pula diberikan dengan sistem elektro-mekanikal yang memberikan talaan sporty atau selesa, bergantung mod yang dipilih pemandu.

Enam mod pemanduan diberikan menerusi AMG Dynamic Select – Slippery, Comfort, Sport, Sport+, Individual dan Race – yang akan menala semula karekter enjin, transmisi, suspensi dan juga sistem ekzos. Di dalam menu AMG Dynamics, anda juga boleh memilih karekter sistem pacuan semua roda, stereng dan ESP dengan empat preset iaitu Basic, Advanced, Pro dan Master.

Dari segi rupa, sudah tentu model paling berkuasa ini tampil lebih ganas dari A-Class biasa mahupun Mercedes-AMG A 35 4Matic yang telah didedahkan sebelum ini. Bahagian muka, seperti model-model tertinggi AMG lain, ia menerima gril Panamericana. Bampar hadapan juga hadir dengan liang kemasukan udara yang besar bersama apron yang kelihatan seperti sayap jet.

Dengan trek roda yang lebih lebar, fender hadapan A 45 ini juga direka lebih gemuk dari A-Class biasa. Di belakang, bamparnya diberikan elemen diffuser dengan perumah untuk menempatkan sepasang tip ekzos bulat bersaiz besar – 80 mm untuk A45 standard, dan 82 mm untuk A45 S.

Selain dari lencana S di belakang, model standard dan versi lebih liar itu dapat dibezakan dengan pada set rim aloi – set 18-inci untuk biasa, dan 19-inci untuk model S.

Jika anda rasa A45 ini tidak cukup garang, jangan kedekut untuk membelanjakan lagi duit untuk pakej AMG Aerodynamic yang terdiri dari splitter hadapan, difusser dengan lebih banyak bilah, lips spoiler belakang dan juga spoiler bumbung yang lebih besar – kesemua ini dalam kemasan hitam berkilat.

Mercedes-AMG turut menawarkan pakej Night, pakej Silver Chrome dan juga rekaan lain untuk set rim bagi mereka yang mahukan kereta yang berbeza dari orang lain.

Pada bahagian dalaman, rekaan asas kabin A-Class masih jelas kelihatan, dibintangi skrin sistem infotaimen Mercedes-Benz User Experience (MBUX). Seperti biasa, model AMG sebenar ini akan diberikan sentuhan perlumbaan dengan tempat duduk Sport bersama upholsteri kulit buatan Artico hitam dan gentian mikro Dinamica.

Model biasa akan diberikan serlahan-serlahan merah pada bahagian tertentu seperti tali pinggang keledar, dan liang penghawa dingin, manakala model S pula menerima serlahan-serlahan kuning pada bahagian sama. Ia turut dipadankan dengan roda stereng AMG Performance, bersama paparan instrumen AMG di belakangnya, yang hadir dengan tema Classis, Sport dan Supersport.

Paparan istimewa tersebut juga boleh memaparkan informasi-informasi lebih istimewa seperti jumlah G-Force ketika mengambil selekoh dan jam randik. Manakala sistem MBUX pada hot-hatch ini hadir dengan fungsi tambahan AMG Track Pace, iaitu sistem yang mampu untuk merekod lebih dari 80 data spesifik ketika kereta tersebut dipandu di litar, termasuk rekod masa lap dan juga masa sektor dalam warna merah atau hijau.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required