Mercedes-AMG A 35 4Matic didedahkan – 2.0L turbo, 306 hp dan 400 Nm, AWD; Pencabar terus VW Golf R!

Mercedes-AMG A 35 4Matic didedahkan – 2.0L turbo, 306 hp dan 400 Nm, AWD; Pencabar terus VW Golf R!

Baharu sahaja imej teaser kereta ini disiarkan semalam, hari ini Mercedes-Benz telah mendedahkan terus Mercedes-AMG A 35 4Matic walaupun penampilan sulungnya akan dibuat di Paris Motor Show bulan hadapan. A 35 ini direka sebagai sebuah model entry level untuk sebuah AMG sebenar dengan enjin empat silinder yang diletakkan antara A 250 dan juga model lebih liar A 45 AMG.

Menurut Mercedes, A 35 AMG ini bukan model yang direka hasil ubahsuai dari model asas, sebaliknya ia dibina serentak dengan penghasilan A-Class generasi baharu W177, bersama-sama Mercedes-AMG A 45 genersi baharu yang akan didedahkan tahun hadapan.

Pada bahagian luaran, asas rekaan hatchback ini masih lagi sama dengan versi standard menmapilkan lampu hadapan dan belakang yang jauh lebih tirus dari model sebelum ini. Walaupun hadir hanya sebagai model entry level, penampilan A 35 ini masih lagi sangat garang dan kelihatan sama agresif seperti A 45 generasi sebelumnya.

kereta ini diberikan gril AMG dengan elemen rekaan louvre berkembar bersama kemasan krom perak. Bampar direka agresif dengan apron AMG dan juga luang udara sisi bersama spiltter udara pada bahagian bawah. Beralih ke sisi, model ini diberikan skirt lebih labuh serta set rim dari AMG jejari berkembar berdiameter 18-inci dibaluti tayar berprofil rendah.

Mercedes-AMG A 35 4Matic didedahkan – 2.0L turbo, 306 hp dan 400 Nm, AWD; Pencabar terus VW Golf R!

Di belakang pula, A 35 diberikan bampar yang dilengkapi diffuser berwarna hitam berkilat yang turut menempatkan dua tip ekzos berbentuk bulat – berbeza dengan A 45 yang berbentk segi empat. Lencana ‘A 35’ dilekatkan pada pintu tailgate belakang, manakala spoiler bumbung bersaiz besar diletakkan pada bahagian atas.

Pendekatan yang sama turut diberikan pada bahagian dalaman. Tidak seperti AMG C 43 – adik kepada AMG C 63 yang tampil ‘lebih lembut’ dengan tidak diberikan tempat duduk ‘bucket’ pada kabin, A 35 ini nampaknya masih mendapat tempat duduk ala-perlumbaan tersebut, di balut dengan kulit buatan Artico hitam.

Selain itu, kabin A 35 ini turut menerima roda stereng rata di bawah, konsol tengah AMG, tali keledar berwarna merah, serta upholsteri gentian mikro Dinamica dengan serlahan jahitan benang putih.

Sama seperti A-Class standard, papan pemuka A 35 ini turut diberikan paparan instrumen digital sepenuhnya Widescreen Cockpit yang terdiri dari dua buah skrin yang masing-masing bersaiz 10.25-inci. Model generasi baharu ini menampilkan sistem perantara baharu Mercedes-Benz User Experience (MBUX) yang menggantikan sistem COMAND sedia ada.

Mercedes-AMG A 35 4Matic didedahkan – 2.0L turbo, 306 hp dan 400 Nm, AWD; Pencabar terus VW Golf R!

Apa yang istimewa pada model berprestasi tinggi ini, ia diberikan paparan tambahan dari AMG yang terbina dalam kluster informasi tersebut. Paparan berkenaan menyediakan mod Supersport yang memaparkan takometer besar pada bahagian tengah, manakala informasi lain diberikan pada kedua-dua sisi. Menerusi menu AMG, pemandu dapat memantau pelbagai paparan khas seperti Warm-up, Set-up, G-Force dan Engine Data.

Sistem MBUX pada A 35 ini turut menawarkan opsyen istimewa AMG Track Pace. Pilihan berkenaan mampu untuk merekod lebih dari 80 data spesifik ketika kereta tersebut dipandu di litar, termasuk rekod masa lap dan juga masa sektor dalam warna merah atau hijau. Ia berfungsi menerusi sistem GPS dan telah diberikan pra tetapan untuk litar Nürburgring atau Spa Francochamps.

Peta paparan boleh dipilih dalam bentuk 2D atau 3D dan dikemaskini secara dalam talian. Ia turut disertakan dengan pengajar maya menerusi sistem fungsi A.I MBUX yang memberikan anda panduan bagi mendapatkan masa lap yang lebih pantas.

Berapa beza kuasa antara A 45 dan A 35 ini? Menurut laporan sebelum ini, A 45 generasi baharu bakal dijelmakan sebagai model lebih buas dengan bekalan kuasa sekitar 400 hp. Untuk A 35 ini pula, ia dijana enjin petrol baharu M260 2.0 liter empat silinder dengan pengecas turbo jenis twin-scroll, menghasilkan kuasa 306 hp pada takat 5,800 rpm hingga 6,100 rpm dan tork maksima 400 Nm bermula 3,000 rpm hingga 4,000 rpm.

Kuasa dialirkan ke kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan AMG Speedshift, dan kemudian diagihkan ke keempat-empat roda menerusi sistem pacuan semua roda bervariasi sepenuhnya AMG Performance 4Matic. Ini membolehkan kereta ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.7 saat sebelum mencapai kelajuan maksima yang dihadkan pada 250 km/j. Manakala penggunaan bahan api pula dicatatkan pada 7.3 liter untuk setiap 100 km berdasarkan kitaran NEDC.

Mercedes-AMG A 35 4Matic didedahkan – 2.0L turbo, 306 hp dan 400 Nm, AWD; Pencabar terus VW Golf R!

Kapasiti enjin, angka kuasa, transmisi dan catatan prestasi pada model ini secara tidak langsung meletakkan Mercedes-AMG A 35 sebagai lawan terus kepada Volkswagen Golf R. Berbanding A 45 generasi W176 sedia ada pula, A 35 ini sedikit perlahan kerana model dengan kuasa 381 hp/380 Nm tersebut mampu untuk memecut dari pegun hingga 100 km/j dalam masa hanya 4.2 saat.

Transmisi untuk model baharu ini telah ditala dengan nisbah gear yang membolehkan kereta tersebut mendapat “pecutan yang sangat serta merta” dalam semua tahap kelajuan, dan ia turut memberikan tukaran gear yang pantas tanpa menyebabkan kehilangan kuasa yang banyak ketika menukar gear yang lebih tinggi.

Hot-hatch ini turut menerima fungsi Race-Start, iaitu sistem launch control yang membolehkan kereta ini berlepas seperti lastik dari kedudukan pegun. Selain tukaran gear secara automatik sepenuhnya, pemandu turut boleh menukar gear secara manual menggunakan pedal penukar gear pada roda stereng.

Seperti model Mercedes-AMG yang lain, kereta ini dilengkapi dengan mod pemanduan AMG Dynamic Select. Mod-mod seperti Comfort, Sport, Sport+ dan Individual adalah sama seperti model lain, namun untuk A 35 ini ia turut menerima mod Slippery baharu. Mod berkenaan menala semula karekter pemanduan kereta ini bagi membolehkan kuasa optimal dapat digunakan pada permukaan licin. Ia akan mengurangkan kuasa enjin dan meratakan lagi lengkungan tork.

Manakala untuk mod Sport+, ia kini menampilkan fungsi double-declutching ketika pemandu menurunkan gear secara agresif bagi membolehkan aliran kuasa yang lebih lancar. Mod ini juga akan menghasilkan bunyi letupan pada ekzos menerusi pemasaan sistem nyalaan dan suntikan yang dilambatkan (retard) secara tepat.

Bagi menghentikan kereta ini, brek hadapan menerima angkup monoblok tetap dengan empat-omboh dan kemasan perak bersama tulisan AMG hitam dan cakera 350 mm pada bahagian hadapan, serta angkup gelangsar dengan omboh tunggal bersama cakera 330 mm di belakang – ukuran yang sama seperti sistem brek A 45 W176. Kesemua cakera tersebut telah pun mempunyai liang dan ditebuk secara standard bagi membolehkan ia disejukkan dengan lebih cepat ketika pemanduan agresif, bagi mengelakkan simptom brake fade terjadi.

Untuk pengendalian pula, kereta ini diberikan dengan sistem Penyerap Hentak Adaptif, namun ia hadir sebagai ciri opsyen – pembeli perlu membayar lebih untuk mendapatkannya.

Pelanggan di Eropah boleh menempah Mercedes-AMG A 35 ini bermula pada bulan hadapan, manakala penghantaran bagi pelanggan pertama hanya akan dibuat pada Januari 2019. Sekarang macam mana? Nak beli A 250 kemudian melabur lagi untuk rupa dan prestasi acah-acah A 45, atau terus beli AMG sebenar A 35 ini?


Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required