Ketika Jepun mendominasi pasaran kereta sport dengan enjin 2.0 liter turbo pada era 90’an dahulu, kuasa sekitar 250 hp – 280 hp yang dihasilkan oleh enjin-enjin seperti 4G63T, EJ20T dan SR20DET dilihat sudah cukup berkuasa. Namun, kebelakangan ini pembuat automotif dari Jerman juga sudah mula menghasilkan kereta sport dengan enjin 2.0 liter turbo, tetapi dengan kuasa yang jauh lebih tinggi.

Pada tahun 2013, Mercedes-AMG A 45 diperkenalkan, hadir dengan enjin M133 2.0 liter turbo menghasilkan kuasa 360 hp – diiktiraf sebagai enjin produksi empat-silinder paling berkuasa di dunia ketika itu. Tidak mustahil sebenarnya untuk menghasilkan enjin berkapasiti sedemikian dengan kuasa sebesar itu, tetapi enjin tersebut adalah enjin produksi kilang – bermaksud ia ditala bukan sahaja untuk prestasi puncak, malah turut mengambil kira kesesuaiannya untuk digunakan seharian serta ketahanannya untuk jangka masa panjang.

Kebolehan AMG untuk menghasilkan enjin sedemikian tidak terhenti setakat itu di mana pada tahun 2015, A 45 facelift diperkenalkan – menggunakan enjin M133 yang sama, tetapi kali ini menghasilkan kuasa 381 hp. Terbaharu, menurut laporan CarAdvice, AMG mengumumkan bakal menghasilkan enjin 2.0 liter turbo dengan kuasa lebih dari 400 hp untuk A 45 generasi berikutnya bagi bersaing dengan Audi RS3 yang dijana enjin 2.5 liter lima-silinder turbo yang kini berkuasa 400 hp.

CEO Mercedes-AMG Tobias Moers memberitahu CarAdvice bahawa hot-hatch generasi baharu berkenaan bakal dijana oleh enjin 2.0 liter serba baharu yang lebih berkuasa, dijangka akan muncul mungkin dalam tempoh dua tahun lagi.

Ketika ditanya adakah enjin baharu tersebut akan diberikan pengecas turbo elektrik seperti yag ditampilkan pada enjin 3.0 liter enam-silinder sebaris S-Class facelift, jawab Moers, “Ya, turbin elektrik merupakan sesuatu yang kami akan kaitkan secara rapat, tetapi mungkin bukan untuk enjin versi pertama.”

Moers menyatakan buat masa sekarang masih lagi terlalu awal untuk memperkatakan berkenaan perincian. “Kami perlu melakukan sesuatu yang istimewa,” kata Moers dan menambah enjin tersebut bakal menerima kuasa lebih dari 400 hp. “Kami tidak mahu untuk memberikan tip atau kelebihan kepada pesaing kami, tetapi kami perlu untuk menghasilkan lebih dari 300 kW (402 hp) – ini merupakan standard baharu,” jelasnya lagi.

Selain dari itu, sistem pacuan semua roda 4Matic untuk A 45 generasi baharu ini turut bakal menampilkan elemen dari sistem 4Matic+ dengan agihan tork bervariasi sepenuhnya seperti sistem pada Mercedes-AMG E 63 baharu. Namun, memandangkan E 63 menampilkan bentangan enjin menegak manakala A 45 pula melintang, Moers menyatakan “tidak mudah sebenarnya untuk menyesuaikan teknologi AWD tersebut dari E- ke A-Class.