Mercedes-AMG A 45 facelift di M’sia – 381 hp, RM349k

Mercedes_A45-2

Sempena dengan pelancaran model facelift W176 A-Class, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) turut mengambil kesempatan untuk memperkenalkan versi yang paling hardcore model facelift Mercedes-AMG A 45. Ia ditawarkan pada harga atas jalan RM348,888 tanpa insurans.

Hanya lebih RM1,000 berbanding model asal, A 45 4Matic facelift ini menerima suntikan kuasa yang lebih, dengan enjin petrol 2.0 liter turbo pancitan bahan api terus berkuasa 381 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 475 Nm bermula seawal 2,250 rpm hingga 5,000 rpm. Kesemua kuasa dari enjin dialirkan ke keempat-empat roda menerusi kotak gear AMG Speedshift DCT tujuh-kelajuan dan juga sistem pacuan empat roda 4Matic.

AMG A 45 kini boleh memecut dari pegun ke 100 km/j dalam hanya 4.2 saat, 0.4 saat lebih pantas dari model sebelumnya. Ini adalah kerana enjin baharu ini mampu mengekstrak lebih 21 hp dan nisbah gear pada sistem transmisi kereta ini telah diperbaharui dengan nisbah yang lebih efisien.

Mercedes_A45-12

Di samping itu terdapat pertambahan elemen baharu bagi hot hatch ini iaitu suspensi AMG Ride Control Sports dengan peredam adaptif. Sistem ini hanya untuk model standard A 45 sahaja, dengan menampilkan dua tahap peredam iaitu Comfort dan Dynamic. Malah turut menambah baik dua tahap roda stereng sensitif-kelajuan dan ia sebahagian daripada pakej AMG Ride Control.

Sistem AMG Performance Exhaust juga adalah standard bagi hot hatch ini, menampilkan penutup ekzos yang boleh berubah bagi memanipulasi ekzos mengikut mod pemanduan. Bagi AMG Ride Control dan Performance Exhaust, termasuk transmisi, pendikit dan karakteristik stereng, ia dikendalikan oleh tuil Dynamic Select (yang menggantikan butang kawalan E-S-M) pada konsol tengah – mod Comfort, Sport, Sport+, Race dan Individual turut terdapat pada A 45 ini.

Pada bahagian luarnya, ia menerima gaya AMG baharu termasuk bahagian bampar hadapan dan belakang spesifik-AMG, rim aloi pelbagai-jejari MAG 19-inci dan kaliper brek berwarna merah. Terdapat juga pertambahan pakej AMG Aerodynamic, dengan menambah penutup hadapan dan belakang termasuk spoiler belakang dengan kekemasan hitam berkilat. Bahagian hadapan juga menampilkan gril AMG dengan logo Three-Pointed Star di tengah.

Elemen standard yang turut ditampilkan termasuk Night Package dengan beberapa elemen berwarna hitam berkilat pada perumah cermin sisi dan belt line, sementara lampu utama LED High Performance dan lampu belakang LED turut ditampilkan.

Ciri AMG masih menjalari bahagian dalamnya termasuklah AMG Performance Seats dengan balutan kulit upholstery, Alcantara, tali pinggang keledar berwarna merah, karpet lantai AMG dan kekemasan gentian karbon dengan perincian merah pada balutan papan pemuka.

A 45 ini juga menerima roda stereng tiga-jejari baharu dengan material cengkaman Alcantara, skrin paparan media lapan-inci bersama ciri hiburan COMAND Online bersama penukar DVD. Ia juga menampilkan paparan bagi kamera undur.

Untuk keselamatan, A 45 masih menawarkan lapan beg udara dan Attention Assist sebagai standard. Malah ia turut menampilkan Collision Prevention Assist Plus, sistem Amaran Pelanggaran Hadapan dengan bantuan brek yang ditambah baik bagi mengurangkan risiko pelanggaran dari belakang.

Ia turut menampilkan Bantuan Parkir Aktif sebagai standard. Tiada tayar simpanan disertakan, namun menawarkan kit baiki tayar TIREFIT di bahagian kargo. walau bagaimana pun,A 45 tidak menampilkan kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin.

Mercedes-AMG A 45 turut ditawarkan dengan waranti empat tahun bersama perbatuan tanpa had.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required