PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah pun menerima Pensijilan ISO 39001:2012 bagi Sistem Pengurusan Keselamatan Trafik Jalan Raya (RTSMS) oleh Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH). Sekaligus menjadikannya sebagai lebuhraya pertama di Malaysia yang menerima pengiktirafan tersebut.
Ia diterima selepas pencapaiannya di peringkat antarabangsa sebagai lebuh raya Asia Pasifik pertama yang memenangi Anugerah Keselamatan Jalan Raya Antarabangsa Prince Michael pada Disember tahun lalu.
Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail telah menerima pensijilan tersebut daripada Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Alice Lau Kiong Yieng sempena program OSH Unity and Sustainability yang diadakan baru-baru ini.
Sebagai syarikat pengendali lebuh raya terbesar di Malaysia yang memberi perkhidmatan kepada 1.7 juta pelanggan setiap hari termasuk 4,000 pekerja lebuh raya, PLUS telah mengambil pendekatan 3E iaitu Engineering (Kejuruteraan), Enforcement (Penguatkuasaan) dan Education (Pendidikan) dalam menguruskan keselamatan di lebuh rayanya sejak tahun 2017.
Bukan itu sahaja, PLUS juga telah menjalankan beberapa inisiatif jangka pendek dan jangka panjang bagi meningkatkan keselamatan lebuh raya bagi mengurangkan kemalangan dengan menggunakan penarafan Program Penilaian Jalan Raya Antarabangsa (iRAP) sebagai penanda aras untuk penambahbaikan lebuh rayanya.
Bagi mencegah dari berlakunya kesilapan manusia terutamanya di kalangan pekerja lebuh raya, PLUS dengan kerjasama NIOSH telah melaksanakan program Pasport Keselamatan Operasi Lebuh Raya (EOSP) yang bertujuan meningkatkan kesedaran tentang keselamatan para pekerja. Pengiktirafan EOSP ini adalah wajib bagi semua pekerja yang bertugas di atas lebuh raya PLUS sebelum mereka boleh memasuki zon kerja masing-masing.
Di samping itu, kerjasama strategik antara PLUS dan pihak-pihak berkuasa juga amat penting untuk meningkatkan penguatkuasaan dan keselamatan di lebuh raya PLUS sehingga berjaya mencatatkan kadar kemalangan terendah (iaitu 2.4%) berbanding dengan jalan dan lebuh raya lain di seluruh negara. PLUS juga sedang memanfaatkan penggunaan teknologi moden untuk memantapkan operasi dan perkhidmatan lebuh raya melalui transformasi digital yang merangkumi kenderaan peronda lebuh raya, pemodenan pusat pemantauan trafik dan meningkatkan keupayaan digital kakitangannya.