Selepas melihat Dominar 400 mempunyai penerimaan yang baik di kalangan pengguna dengan ciri “Sport Touring” yang ditawarkan, Bajaj kini memperkenalkan pula versi 250 bagi model tersebut iaitu Dominar 250 di India. Harganya di sana adalah 160,000 rupee (RM9,000).
Perbezaan utama model yang dibangunkan untuk mendekati lebih ramai penunggang ini berbanding Dominar 400 sudah tentu adalah enjin, di mana ia menggunakan unit satu silinder DOHC Twin Spark suntikan bahan api 248.77 cc, yang digabungkan bersama transmisi enam kelajuan dan mampu menghasilkan kuasa 27 PS pada 8,500 rpm dan 23.5 Nm tork pada 6,500 rpm. Ini adalah enjin yang sama dengan KTM Duke 250.
Fork hadapan juga diubah menjadi lebih kecil iaitu unit 37 mm USD dengan jarak gerak 135 mm manakala suspensi belakang masih sama dengan Dominar 400 iaitu monoshock dengan tabung Nitrox dan boleh gerak 110 mm. Sistem brek motosikal ini dilengkapi dengan ABS two-channel, bersama tetapan cakera 300 mm (Dominar 400 320 mm) di hadapan manakala di belakang terdapat cakera 230 mm.
Keseluruhan badan Dominar 250 ini juga adalah sama dengan Dominar 400, sekaligus mengekalkan dimensinya yang berukuran 2,156 mm panjang, 836 mm lebar dan 1,112 mm tinggi. Beratnya kurang sedikit menjadi 180 kg, berbanding 184 kg bagi Dominar 400. Tangki bahan api masih 13 liter.
Di Malaysia, motosikal Bajaj dijual oleh Modenas dan dijenamakan semula dengan logo serta nama pengeluar tempatan itu. Minggu lepas, harga untuk dua model iaitu Pulsar RS200 dan Dominar 400 diturunkan masing-masing menjadi RM9,990 dan RM13,788 tidak termasuk insurans.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.