Honda CT125 Hunter Cub mula masuk pasaran Jepun – lebih mahal daripada Super Cub, RM17,500

Honda CT125 Hunter Cub pertama kali dipertontonkan kepada umum waktu Tokyo Motor Show 2019, dan kini ia sudah pun memasuki pasaran utamanya iaitu di Jepun pada harga 440,000 yen (RM17,500). Harga ini adalah lebih tinggi daripada Super Cub C125 dan Monkey 125 yang dijual pada harga 407,000 yen (RM16,000).

Meskipun CT125 menggunakan asas yang sama seperti C125, termasuk enjin empat strok satu silinder 124 cc OHC yang berkuasa 8.8 PS dan 11 Nm tork (-0.9 PS dan +1 Nm tork berbanding C125), kerangkanya telah dipanjangkan dan diperkuat untuk menyesuaikannya dengan kegunaan jelajah termasuk jalan tidak berturap.

Bahagian badan juga sudah tentu berbeza, di mana CT125 tidak menggunakan banyak panel badan, ekzos terletak tinggi, rak barangan lebih panjang, suspensi lebih tinggi (165 mm dari tanah dan tinggi tepat duduk 800 mm), fender depan besi serta tangki bahan api 5.3 liter (3.7 liter pada C125).

Kemudiannya, ia dilengkapi dengan rim jejari 17 inci yang dibalut tayar 80/90 di depan dan belakang, brek cakera depan dan belakang bersama sistem ABS one-channel (depan sahaja), kotak gear empat kelajuan tanpa klac tangan, fork teleskopik dan dua penyerap hentak di belakang.

Bahagian pemegang CT125 turut dijadikan lebih tinggi, dan anda juga boleh melihat ia dipasang dengan besi pelindung enjin, semua lampu jenis LED, pemula jenis tendang dan elektronik serta lampu tambahan pada bahagian hadapan.

GALERI: Honda CT125 di Tokyo Motor Show 2019