Semasa Tokyo Motor Show 2019, Honda bukan setakat membawa model kereta, tetapi juga motosikal. Selain model-model semasa seperti Africa Twin CRF1100L, ADV 150, Monkey 125 dan CB650R, ada juga model yang membuat penampilan kali pertama kepada dunia iaitu CT125.
Ia adalah sebuah motosikal yang dipanggil oleh Honda sebagai “Trekking Cub”, dengan sasaran menjadikannya sebuah motosikal yang mudah ditunggang hari-hari dan mempunyai kelengkapan yang membolehkannya masuk ke kawasan terpencil.
CT125 menggunakan enjin satu silinder 124 cc yang sama seperti MSX125 dan Monkey 125, tetapi gaya badannya lebih kepada sebuah scrambler. Antara rekaan uniknya adalah seperti ekzos, penapis udara dan salur angin yang tinggi, fender depan besi, tapak meletak barang di belakang dan suspensi yang bersesuaian.
Kelengkapan lain yang ada padanya adalah termasuk meter bulat jenis digital, rim spoked dengan tayar pelbagai guna, brek cakera depan dan belakang, panel badan yang minimal, lampu bulat LED di hadapan, lampu penunjuk arah LED petak, dua penyerap hentak di belakang dan pemegang yang tinggi.
Honda tidak memberitahu bila ia akan berada di pasaran, sama ada untuk negara lain ataupun Jepun sendiri, tetapi kemungkinan ia tidak lama lagi kerana model ini sememangnya sudah bersedia untuk menjadi penawaran unik baru dari Honda.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.