Dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki fasa kedua dan lebih menyeluruh ketika ini, kerajaan juga telah mengurangkan senarai perkhidmatan penting hanya kepada 10 kategori sahaja berbanding 22 kategori sebelum ini.

Senarai yang diperbaharui ini juga kini menjadi sebahagian daripada Warta Kerajaan Persekutuan – Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang diterbitkan pada 31 Mac lalu.

Ini 10 perkhidmatan penting yang dimaksudkan:

  • Makanan
  • Air
  • Tenaga
  • Komunikasi dan Internet
  • E-Dagang
  • Sisa buangan pepejal dan pengurusan kebersihan dan saliran awam
  • Kesihatan dan perubatan termasuk supplement pemakanan
  • Perbankan dan kewangan
  • Keselamatan dan pertahanan
  • Logistik yang tertakluk kepada perkhidmatan penting berkaitan

Senarai perkhidmatan penting yang tidak termasuk di dalam warta berkenaan terdiri daripada:

  • Perkhidmatan pelabuhan, limbungan dan lapangan terbang
  • Penjara
  • Penapisan, penyimpanan dan pengedaran minyak dan pelincir
  • Hidupan liar
  • Hotel dan penginapan

Berdasarkan warta berkenaan, seseorang itu boleh melakukan pergerakan di kawasan-kawasan terlibat atau di antaranya hanya bagi lima tujuan ini sahaja:

  • Untuk membeli makanan, keperluan harian, ubat dan supplement pemakanan
  • Untuk membekal atau menghantar makanan, keperluan harian, ubat dan supplement pemakanan
  • Untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan atau perubatan
  • Untuk menjalankan tugas-tugas rasmi
  • Untuk menjalankan tugas-tugas berkaitan perkhidmatan penting yang tersenarai

“Kawasan Tempatan Yang Dijangkiti” bermaksud mana-mana kawasan yang telah diisytiharkan sebagai zon dijangkiti di bawah Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Perisytiharan Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020. Ambil maklum juga, pergerakan untuk tujuan keperluan juga telah dihadkan kepada 10 km sahaja dari tempat kediaman.