Papadakis Racing Toyota GR Supra – 1,100 hp dengan enjin asal B58, jentera Formula D untuk Fredric Aasbø

Papadakis Racing Toyota GR Supra – 1,100 hp dengan enjin asal B58, jentera Formula D untuk Fredric Aasbø

Sebaik sahaja Toyota GR Supra didedahkan sepenuhnya pada Januari tahun lalu, penala-penala khususnya dari Jepun mula menghasilkan jentera drift dari kerangka kereta sport tersebut dengan kuasa sekitar 800 hp. Namun, tiada satu pun darinya yang menggunakan enjin asal B58 dalam Supra berkenaa di mana GR Supra milik Daigo Saito dan HKS dipandu Nobuteru Taniguchi dijana enjin 2JZ dari Supra JZA80, manakala GR Supra Toyo Tyres untuk Kawabata Masato yang sebelum itu juga menggunakan 2JZ, kini dikuasakan oleh enjin V8 3UZ-FE.

Dan ini dia, jentera drift GR Supra dari Papadakis Racing yang akan dipandu oleh Fredric Aasbø dalam kejohanan Formula Drift tahun ini, menjana lebih 1,000 hp dan masih mengekalkan enjin asal B58 3.0 liter turbo – pertama seumpamanya di dunia!

Projek dari Papadakis Racing ini sebenarnya telah bermula sejak tahun lalu lagi. Enjin B58 tersebut diceraikan, dan dibangunkan semula sendiri oleh pengasas pasukan ini sendiri iaitu Stephan Papadakis. Enjin ini masih lagi menggunakan aci engkol asal enjin tersebut, tetapi kesemua omboh telah digantikan dengan omboh custom dari JE Piston, dikahwinkan dengan rod penghubung forged dari Carillo.

Papadakis Racing Toyota GR Supra – 1,100 hp dengan enjin asal B58, jentera Formula D untuk Fredric Aasbø

Kepala silinder juga telah diusik bagi memberikan aliran liang-liang injap yang lebih baik, dengan nisbah mampatan pada kebuk pembakaran kini dicatatkan pada 11:1. Turbo asal digantikan dengan unit Borg Warner EFR 9280 dengan boost dikawal oleh dua buah wastegate Tial MVR 4mm.

Suapan dari pengecas turbo lebih besar berkenaan dihantar ke kebuk pembakaran menerusi manifold kemasukan dari Montune yang dihasilkan dengan pencetak 3D. Enjin ini tidak lagi beroperasi dengan petrol biasa, tetapi ia dijana oleh Ethanol E85, yang disampaikan oleh dua pam AEM 400 LPH dan disuntik ke kebuk pembakaran dengan enam penyuntik bahan api Dynamic Injector 2000 cc.

Hasilnya, enjin ini berjaya mengekstrak sejumlah 1,100 hp dan tork maksima 1,232 Nm ketika diuji terus pada mesin dyno atas bench, dan 750 hp dengan boost 1.7 bar pada roda belakang ketika ujian dyno dengan casis dijalankan.

Papadakis Racing Toyota GR Supra – 1,100 hp dengan enjin asal B58, jentera Formula D untuk Fredric Aasbø

Kerangka GR Supra ini turut mendapat sentuhan semula dari Papadakis Racing. Ia kini diberikan rollcage penuh mengikut spesifikasi jentera Pro Level untuk Formula D, manakala suspensinya pula menampilkan set penyerap hentak dan spring perlumbaan boleh laras sepenuhnya dari RSR, serta kit dari Wisefab yang bukan sahaja menjadikan trek roda kereta ini lebih lebar, tetapi turut memberikan sudut stereng yang lebih jauh untuk aksi drift dengan sudut yang tidak masuk akal.

Dengan suspensi dan roda yang jauh lebih lebar dari asal, GR Supra ini ‘terpaksa’ diberikan kit badan yang juga lebih lebar dari asal. Papadakis Racing tidak menggunakan kit badan Pandem atau HKS untuk Supra A90 mereka, tetapi menggunakan kit lebih ringkas dari Jonsibal – tiada lengkok dan liang mengarut, tiada sayap GT gergasi dan hanya menerima spoiler ekor itik yang lebih panjang.

Imej yang disiarkan ini sebenarnya masih dalam bentuk digital. Kereta ini belum siap sepenuhnya – hanya kit badan dan livery perlumbaan masih lagi belum dilengkapkan. Kejohahan Formula D untuk musim 2020 akan bermula pada 10 April ini (jika tidak ditunda kerana pandemik Covid-19) di Long Beach, Califronia. Musim lalu Fredric Aasbø hanya berjaya naib juara dengan memandu Toyota Corolla (diubah menjadi pacuan roda belakang dengan enjin 2AR juga binaan Papadakis). Dengan jentera baharu ini, Aasbø diramal bakal memberikan saingan yang lebih sengit.




Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required