Minggu lalu, pereka kit badan lebar Rocket Bunny, Kei Miura dari Tra Kyoto berkongsi satu imej render sebuah ‘Pandem Supra’ di laman instagram miliknya. Seperti biasa, pos-pos seperti itu sebenarnya adalah ‘teaser‘ dari Miura membayangkan projek seterusnya. Rupanya tidak lama – minggu ini juara D1 GP Jepun 2008/2016 dan juara Formula D USA 2012 Daigo Saito telah mendedahkan jentera baharunya untuk D1 GP 2019 iaitu Toyota GR Supra A90 yang menggunakan kit badan berkenaan.

Apa yang menarik, Daigo Saito telah merealisasikan visi kebanyakkan peminat Toyota iaitu untuk melihat sebuah Supra A90 yang disumbat enjin dari Supra JZA80 iaitu 2JZ-GTE. Seperti biasa, enjin Saito disediakan oleh penala ‘otai’ dari Jepun iaitu HKS, dan untuk Supra generasi baharu ini enjin berkenaan menerima peningkatan kapasiti dari 3.0 liter kepada 3.4 liter, bersama pengecas turbo tunggal bersaiz gergasi, menghasilkan kuasa 800 hp!

Untuk rupa luaran, bampar hadapan Supra A90 berkenaan masih menggunakan unit asal tetapi diubahsuai dengan pemadanan spoiler tambahan pada bahagian bawah. Ruang roda hadapan dan belakang dilebarkan lagi dengan gaya Rocket Bunny, menampilkan rivet-rivet yang diserlahkan. Manakala di belakang, spoiler seakan dari Porsche RWB diberikan dalam saiz yang sangat besar.

Secara asasnya, badan kereta ini tampil dengan warna hitam, dan diberi livery Toyota Gazoo Racing pada bumbung, pintu dan bonet hadapan. Kemudian, ia turut menerima grafik dari penaja-penaja utama lain seperti Monster Energy Drink, Sunoco dan juga HKS.

“Saya sangat gembira kerana telah mengubahsuai Supra (A90) kepada sebuah kereta drift pertama di dunia. Keseronokan untuk mengubahsuai kereta baharu sentiasa ada, tetapi saya rasa saya kini kembali kepada tujuan asal saya. Kerana jarak roda kereta ini pendek dan keseluruhan badan yang agak kompak, ia boleh dipandu dengan lebih tajam, pemanduan berkuasa juga adalah mungkin, dan nampak seperti anda boleh mengawal kereta ini dengan bebas. Saya masih tidak tahu sama ada saya boleh memandunya, tetapi saya tidak sabar,” kata Saito.

Kereta ini sebenarnya masih lagi dalam pembinaan, dan ia akan disiapkan hanya dalam masa 42 hari. Pandem Supra A90 dengan enjin 2JZ HKS 3.3 liter ini dijangka akan membuat kemunculan sulungnya di khalayak ramai pada D1GP All Star Shoot-out yang berlangsung di Odaiba, Tokyo pada 23 dan 24 Mac ini. Daigo Saito turut mengesahkan bahawa beliau turut akan bertanding dalam Gymkhana Grid 2019 dalam kategori RWD di Poland pada 7 September 2019.