Ilustrasi modifikasi radikal Saga, Juara, Kancil dan Defender — kreativiti mengalir dalam kurungan PKP

Ilustrasi modifikasi radikal Saga, Juara, Kancil dan Defender — kreativiti mengalir dalam kurungan PKP

Lebih tiga minggu melalui tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini, bermacam-macam situasi dan keadaan yang terpaksa kita depani. Selain petugas-petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus berperang dengan peristiwa-peristiwa sekitar Covid-19 (semoga Tuhan merahmati semua pengorbanan mereka), sebahagian besar lagi warga diminta untuk menyumbang peranan dengan cara yang bagi sesetengah orang sangat aneh – duduk diam-diam di rumah.

Bunyinya macam mudah, tetapi itu pun ada yang mengeluh. Dalam berhadapan dengan situasi seperti ini, ramai yang terpinga-pinga dan resah, terutama di awal-awal pelaksanaan PKP, kerana tak tahu bagaimana untuk menguruskan masa yang ada, di samping rasa kekok terpaksa berkurung di rumah. Bagi mereka yang selalu aktif secara fizikal, ini mungkin satu hal yang agak payah untuk menyesuaikan diri.

Mungkin, lepas seminggu melaluinya, dan ramai di antara kita sudah boleh beradaptasi dengan suasana dan realiti baru ini, sesuatu perlu dilakukan untuk kekal produktif, paling tidak dari segi fikiran, kalau pun bukan tubuh badan. Di dalam keadaan ini, anda boleh memilih untuk terus mencari alasan untuk tidak berbuat apa-apa dan menjadi counter-productive, atau sebaliknya meneroka hal-hal lain yang boleh dilakukan.

Ilustrasi modifikasi radikal Saga, Juara, Kancil dan Defender — kreativiti mengalir dalam kurungan PKP

Wabak Covid-19 mungkin penularan dengan skala paling pernah besar melanda seluruh dunia, tetapi ia bukanlah pengalaman pertama sepanjang kewujudan manusia berhadapan dengan kes seumpamanya, termasuklah perintah berkurung di rumah. Dan di sebalik segala macam kerosakan dan kemusnahan yang berpunca daripada penularan wabak sejak dulu, sejarah dunia pernah menyaksikan banyak juga perkara penting dan yang baik-baik terlahir daripada waktu-waktu sukar seperti sekarang.

25 Julai 1665, seorang budak berusia lima tahun, John Morley ditemui mati di rumahnya di Cambridge, England. Ada kesan bintik-bintik hitam pada dadanya; dia menjadi kes pertama yang diketahui terkena dan mati akibat wabak bubonik dan menjadi petanda awal penularan ketika itu. Perintah berkurung pun diperkenalkan. Salah seorang pemuda berusia 26 tahun di Trinity College antara yang terkesan dengan perkembangan tersebut dan terpaksa berkurung di rumah – sesetengah sumber mengatakan ia berlanjutan sehingga dua tahun. Hari ini, pemuda berkenaan kita kenali dengan nama Isaac Newton.

Sebagai lanjutan kepada pertanyaan terhadap masalah-masalah sains yang sedang diselidik sebelum itu, tempoh perintah berkurung berkenaan memberi ruang kepada Isaac Newton untuk memperlahankan rentak hidupnya dan fokus kepada permasalahan yang cuba dihadam sejak bergelar seorang pelajar ketika itu. Maka, dari tempoh perintah berkurung itulah dia menemukan hal-hal yang mengubah pengatahuan dunia terhadap sains; beliau jadi pemangkin yang menemukan ilmu kalkulus, mencipta sains pergerakan, membongkar graviti dan lain-lain.

Ilustrasi modifikasi radikal Saga, Juara, Kancil dan Defender — kreativiti mengalir dalam kurungan PKP

Itu cerita ribuan tahun dahulu. Dan hari ini, sejarah yang sama sedang berputar sekali lagi di hadapan mata kita. Bukanlah maksudnya kita inginkan seorang lagi Isaac Newton ketika wabak Covid-19 ini melanda (kalau ada, apa salahnya?), tetapi sekadar untuk menunjukkan bagaimana masa dan pengurungan di rumah yang ada ini dapat digunakan untuk menjana atau menghasilkan suatu manfaat yang lain, setidak-tidaknya sebagai pencapaian untuk diri sendiri.

Antara kelompok yang paling “beruntung” dalam waktu-waktu begini mungkin mereka yang bergelut dengan dunia kreatif. Pereka, penulis, pemuzik, artis grafik dan lain-lain. Waktu bersendirian yang ada ini (tentulah jika keadaan di rumah mengizinkan untuk ini berlaku) memberikan satu ruang dan peluang baru untuk kita meneroka dan merenung pelbagai hal yang sebelum ini bukan sahaja tak berkesempatan untuk dicuba, bahkan untuk difikirkan.

Satu contoh kecil yang dimaksudkan ini ditunjukkan oleh Afiq Afify Anuar. Selaku pekerja freelance yang banyak terlibat dengan kerja-kerja rekaan dalam bidang seni bina atau architecture sejak 2014, beliau antara lain merupakan pendiri bagi sebuah jenama pakaian dan grafik AkuDesign. Tetapi, sebelum ini, sedikit pun dia tak pernah berminat, apatah lagi membayangkan untuk menghasilkan rekaan-rekaan grafik berkaitan automotif.

Ilustrasi modifikasi radikal Saga, Juara, Kancil dan Defender — kreativiti mengalir dalam kurungan PKP

Namun, tempoh PKP ini menghimpitnya ke satu sudut lain. Tak banyak pekerjaan untuk dilakukan, jualan barangan juga mungkin tidak serancak dahulu. Tetapi, gesaan kreatif dalam diri tetap perlu diluah dan dikeluarkan. “Saya mula sebab rasa bosan masa PKP ini, itu sahaja,” ujarnya. Yang dirujuk ialah rekaan-rekaan grafik kereta-kereta modifikasi yang dibayangkan semula olehnya.

“Sepanjang PKP, masa terlalu banyak terbuang macam itu saja. Jadi, awalnya saya banyak luangkan masa untuk menonton Netflix. Sehinggalah saya terjumpa sebuah dokumentari – Formula One: Drive To Survive,” jelas Afiq. “Sejak itu saya terfikir dan terbayang-bayang, macam mana rupa kereta-kereta nasional kita sendiri kalau diberi imej dan modifikasi sama seperti yang saya lihat dalam dokumentari berkenaan,” tambahnya.

Sejak itu bermulalah kenakalan imaginasinya, walhal, sebelum ini langsung tak terlalu berminat tentang kereta atau automotif secara umumnya. Tetapi, gesaan kreatif dalam diri telah mengganggunya, dan memaksa untuk dia berbuat sesuatu untuk meredakan gelisah dalam diri. Makan perlahan-lahan, terhasilkan beberapa rekaan seperti yang anda lihat ini.

Ilustrasi modifikasi radikal Saga, Juara, Kancil dan Defender — kreativiti mengalir dalam kurungan PKP

“Satu lagi, ini macam satu pernyataan saya untuk menjawab tentang bayangan yang disogokkan kepada kita berkaitan 2020. Sejak dulu orang bercakap tentang tahun 2020 yang tersangat canggih, dengan kereta terbang segala macam. Tetapi realitinya tidak. Jadi rekaan-rekaan kereta modifikasi begini bagi saya adalah lebih dekat dengan budaya dan imaginasi orang kita, berbanding kereta terbang yang selalu dimomokkan dahulu,” jelasnya.

Afiq bermula dengan tiga kereta nasional Malaysia terlebih dahulu; Proton Saga, Perodua Kancil dan juga Proton Juara. “Kemudian, anda orang yang comission-kan saya untuk membuat rekaan yang mereka nak, misalnya Land Rover Defender. Dalam masa yang singkat, daripada sekadar hobi suka-suka, saya juga dapat memuaskan atau menggembirakan orang lain dan jana sedikit duit. Ini satu hal yang di luar jangkaan saya sendiri,” tambah Afiq.

Apa pandangan anda tentang rekaan grafik modifikasi kenderaan yang dihasilkan ini? Kalau anda atau ada kenalan yang ada tenaga kreatif berkaitan automotif yang ingin dikongsikan, sila emelkan ke [email protected]. Kekal selamat, semua. Dan terus alirkan daya kreativiti anda.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required