Ada yang dah rancang nak ke perlumbaan Super GT pusingan Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang Julai nanti? Nampaknya anda kena bersabar dahulu kerana GT Association (GTA) telah mengumumkan bahawa akibat pandemik Covid-19 yang sedang melanda dunia sekarang, keseluruhan jadual musim 2020 ini terpaksa ditunda.

Tiada perlumbaan yang akan dibatalkan sepanjang musim ini namun disebabkan pusingan pertama di Okayama yang sepatutnya berlangsung bulan lalu ditangguh ke 11 dan 12 Julai, pusingan yang akan diadakan di Asia Tenggara iaitu Sepang dan Burriram, Thailand akan dianjak mungkin ke Disember 2020 atau Januari 2021.

Sepang sepatutnya menjadi tuan rumah perlumbaan ini pada 16 hingga 19 Julai nanti sebagai pusingan kelima, dua minggu selepas selesai pusingan keempat di Thailand. Malaysia kembali menganjurkan perlumbaan ini selepas menarik diri tujuh tahun lalu, dan ia akan menjadi pusingan Super GT pertama dalam sejarah yang akan diadakan pada sebelah malam.

Pusingan di Suzuka turut ditangguh – sepatutnya berlangsung pada 30 hingga 31 Mei, kini ia dijadualkan semula akan berlangsung sebelum dua pusingan akhir yang diadakan luar dari Jepun.