VIDEO: Bagaimana UMW Toyota hidupkan semula Corolla KE10 yang tidak bergerak selama 15-tahun

Ingat lagi dengan Toyota Corolla generasi pertama milik UMW Toyota sendiri yang dipamerkan ketika mereka meraikan 50-tahun operasi pemasangan tempatan (CKD) kenderaan berjenama Toyota di kilang Bukit Raja Jun tahun lalu? Kini UMW telah membuka cerita bagaimana kereta berkenaan dihidupkan semula menerusi video yang baharu sahaja disiarkan di laman Facebook mereka.

Projek ini diketuai oleh Khairil Anuar Sarmat, iaitu Konsultan Teknikal Senior di UMW Toyota. Menurutnya, sebelum ini kereta tersebut sudah 15 tahun tidak bergerak dan dihidupkan, dan mengalami kerosakan pada enjin serta kotak gear.

Dia turut menyatakan bahawa mereka baru tahu bahawa dua buah omboh dalam enjin berkenaan rupanya telah pun pecah ketika enjin tersebut dirombak rawat. Dan walaupun ini adalah model Toyota pertama yang di pasang di Shah Alam, alat gantinya sudah tiada dalam inventori dan mereka terpaksa mencarinya di luar.

VIDEO: Bagaimana UMW Toyota hidupkan semula Corolla KE10 yang tidak bergerak selama 15-tahun

Walau bagaimanapun, untuk mencari semula alat ganti untuk enjin Corolla ini bukan sesuatu yang mustahil. Ini kerana enjin siri K 1.1 liter yang digunakan pada badan KE10 ini secara asasnya adalah sama dengan enjin 3K dan 4K yang menjana Corolla KE20, KE30 dan KE70 dan kesemua model ini masih lagi banyak boleh ditemui sedang merayap di atas jalan raya di Malaysia dan dunia.

Malah enjin siri K masih lagi menjana Toyota Unser yang diproduksi dari tahun 1998 hingga 2005 – beza antara varian enjin 3K, 4K, 5K dan 7K ini adalah kapasiti dan berberapa komponen lain (enjin 1.8L 7K pada Unser misalnya sudahpun menggunakan sistem suntikan bahan api dan bukan karburator), serta ada alat gantinya masih boleh ditukar-pakai sesama sendiri.

Dalam video ini turut memaparkan Corolla KE10 berkenaan turut diuji oleh orang-orang besar UMW Toyota sendiri di litar ujian mereka di kilang Bukit Raja. Antaranya adalah naib pengerusi UMWT dan ketua pegawai UMW Toyota Motorsport, Akio Takeyama serta presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K.

VIDEO: Bagaimana UMW Toyota hidupkan semula Corolla KE10 yang tidak bergerak selama 15-tahun

Untuk pengetahuan anda, kereta ini bukanlah sebuah kereta yang disimpan oleh Toyota Malaysia selepas ia keluar dari barisan produksi pada tahun 1968 dahulu, sebaliknya UMW membeli semula kereta ini dari orang awam. Ia kemudiannya menjalani restorasi sekitar tahun 2006, dan selepas itu terus menghuni UMW Galeriku yang terletak di Shah Alam untuk tatapan orang ramai.

Selain dari di bawa keluar untuk dipamerkan kepada media pada pertengahan tahun lalu, KE10 yang sama juga telah di bawa ke Pulau Pinang Februari lalu sempena festival perlumbaan Toyota Gazoo Racing (TGR) Malaysia pusingan ketiga musim ketiga, untuk dipamer kepada khalayak ramai menerusi booth Art of Speed Malaysia.

GALERI: Toyota KE10 milik UMW Toyota ketika meraikan 50-tahun operasi pemasangan tempatan (CKD)

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required