Toyota Gazoo Racing Festival di Stadium Batu Kawan penuh dengan aksi mendebarkan dari dalam litar

Toyota Gazoo Racing Festival di Stadium Batu Kawan penuh dengan aksi mendebarkan dari dalam litar

Hujan yang turun sekejap tidak mampu meredakan cuaca panas terik selama dua hari di Stadium Batu Kawan Pulau Pinang tidak menjadi penghalang untuk acara Toyota Gazoo Racing (TGR) Festival dan siri perlumbaan Vios Challenge Pusingan ketiga bagi musim ketiga berlangsung dengan gamat, terutama pada hari Ahad yang menyaksikan lebih ramai pengunjung dan penonton hadir untuk memberi sokongan.

Seperti biasanya TGR, pelbagai pameran dan aturcara yang disediakan untuk seisi keluarga; antara yang banyak menarik perhatian ialah aksi drift oleh Toyo Tires, dewan pameran dan permainan e-sukan serta kemuncak pada petang Sabtu, persembahan pentas selama kira-kira 45 minit oleh band Hujan.

Namun, tumpuan utama TGR sepanjang tiga musim ia dianjurkan ini tentulah di litar jalanan yang disediakan; pertembungan sengit antara pelumba-pelumba bagi Vios Challenge, dan tidak lupa, yang turut menampilkan kelas khas Promotional untuk selebriti-selebriti tempatan yang turut menunjukkan kemahiran berlumba.

Toyota Gazoo Racing Festival di Stadium Batu Kawan penuh dengan aksi mendebarkan dari dalam litar

Sejak Sabtu lagi litar Batu Kawan menjadi “hangat” dengan banyak kejadian dan perkembangan menarik. Semua ini tidak menunggu lama untuk mengambil tempat; sejak pusingan kelayakan, telah banyak saingan sengit dan perlanggaran yang berlaku. Misalnya, bagi kelas Promotional, Shafiq Kyle yang terlanggar tembok serta jentera Ain Edruce yang kemalangan dalam perlumbaan pusingan pertama dan menyaksikan sebiji tayarnya tercabut dan bergolek di dalam litar antara yang mencuri tumpuan.

Bagi kelas Super Sporting dan Sporting pula, saingannya lebih sengit. Tengku Djan Ley yang mengungguli perlumbaan pertama pada hari Sabtu bagaimanapun terpaksa berpuas hati dengan sekadar mengutip mata untuk perlumbaan kedua. Ini kerana sebagai juara perlumbaan pertama itu, beliau perlu memulakan perlumbaan dikotak terakhir dengan tambahan beban 55 kg.

Tidak cukup dengan itu, seawal perlumbaan kedua pula Djan terlanggar pula tembok; selepas penukaran tayar belakang sebelah kanan, beliau berusaha untuk menamatkan perlumbaan untuk mendapatkan juga mata. Di depan, Freddie Ng yang bermula dari kotak pertama agak selesa dari awal perlumbaan untuk mengekalkan kedudukan itu walaupun turut dicabar oleh William Ho dan Boy Wong yang mengikut rapat di belakang.

Perlumbaan paling menarik pada Ahad ialah milik kelas Sporting. Dengan jumlah jentera lumba paling banyak di antara kelas-kelas yang dipertandingkan, perlumbaan mereka tidak menunggu lama sebelum perlanggaran besar berlaku selepas sebuah jentera hilang kawalan dan menghentam tembok. Oleh kerana jarak yang dekat dan litar yang sempit, ia dalam sekelip mata menjadi perlanggaran bertindan melibatkan hampir enam kereta.

Tidak cukup dengan itu, kereta keselamatan terpaksa keluar sebanyak dua kali disepanjang perlumbaan, membuatkan jarak yang ada di antara pelumba-pelumba dirapatkan semua dan sekali gus mempengaruhi bagaimana perlumbaan itu berakhir. Tom Goh yang berada di hadapan sejak kotak mula kerap berhasil menjarakkan dirinya daripada Haji Sutan dan juga Bradley Benedict.

Tetapi, dengan kereta keselamatan terpaksa keluar, ini memberikan kesukaran kepada Tom; di dua selekoh pusingan terakhir, Bradley berhasil memintasnya dalam satu aksi getir dan berisiko. Pelumba yang paling banyak menunjukkan kesungguhan tentulah Bradley sendiri. Dari kedudukan keempat, beliau berjaya memintas antaranya Haji Sutan – yang memulakan perlumbaan di petak kedua -untuk akhirnya muncul juara.

Bagi kategori Promotional pula, perlumbaan pada Ahad menjadi antara yang memuaskan bagi tiga pelumba yang berjaya menduduki podium. Shukri Yahaya, Nabil Ahmad dan Shawn Lee mengungguli saingan, memintas beberapa pelumba lain yang memulakan perlumbaan di petak-petak hadapan. Janna Nick bagaimanapun tidak dapat menghabiskan perlumbaan selepas terlibat dalam satu perlanggaran bersama Shafiq Kyle.

Apa pun, TGR Musim ke-3 ini masih berbaki dua lagi perlumbaan di satu lagi lokasi di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang akan menjadi perlumbaan kemuncak bagi menentukan juara bagi musim ini. Jumpa di Sepang pula nanti.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required