Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan memasuki fasa ketiga esok bakal menyaksikan penguatkuasaan yang lebih keras dan ketat. Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, disebabkan kompaun RM1,000 bagi pesalah PKP masih dianggap rendah oleh segelintir rakyat, maka kerajaan telah bersetuju membenarkan pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) tidak akan lagi beri tumpuan terhadap kompaun RM1,000 yang dikenakan kepada pesalah ingkar PKP, mulai esok. Sebaliknya pesalah PKP akan direman dan dihadap ke mahkamah.
“Mulai esok PKP ketiga akan dilaksanakan, saya percaya ekspektasi rakyat terhadap tindakan polis adalah yang lebih keras dan tegas. Kita lihat rakyat seolah-olah tidak peduli atau tidak takut dengan undang-undang pada hari ini.Mungkin RM1,000 tidak dianggap tinggi untuk menakutkan mereka yang terus ingkar.
“Oleh itu, mulai esok, kita bersetuju bahawa pihak polis tidak memberikan tumpuan kepada kompaun. Sebaliknya, pesalah PKP akan direman dan dihadapkan di mahkamah. Biarlah mahkamah yang memutuskan (hukuman bagi pesalah PKP),” ujar Ismail Sabri dalam sidang media harian PKP di Putrajaya, sebentar tadi.
Menurutnya lagi, di bawah Seksyen 24 Akta 342 menyebut bahawa mahkamah boleh menghukum individu yang disabit kesalahan ini dengan penjara tidak lebih dua tahun atau lima tahun bagi kesalahan seterusnya.
Ismail Sabri turut memaklumkan, semalam PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (PDRM) telah mengadakan sebanyak 786 sekatan jalan raya di seluruh negara dan memeriksan sejumlah 546,553 kenderaan.
Malah PDRM turut menahan seramai 1,374 individu yang ingkar PKP, merangkumi 931 orang telah dikompaun sebanyak RM1,000, manakala seramai 418 orang direman dan 25 orang dibebaskan atas jaminan polis.
“Semalam juga seramai 427 individu telah dituduh di mahkamah. Manakala jumlah tangkapan kumulatif yang ingkar PKP sejak dilaksanakan sehingga 13 April 2020 mencecah seramai 9,090 individu, dengan jumlah keseluruhan kompaun yang dikeluarkan adalah sebanyak 4,036,” sambungnya lagi.
Ismail Sabri turut mengumumkan pertambahan lokasi yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) iaitu di Masjid India, Kuala Lumpur dan kawasan-kawasan sekitarnya mulai hari ini hingga 28 April. Manakala PKPD di Sungai Lui, Hulu Langat yang bermula 30 Mac lalu telah ditamatkan hari ini, kecuali melibatkan Maahad Tahfiz An Nabawiah dan sebuah rumah di Kg Payu Lebar Batu 23 yang dilanjutkan sehingga 28 April. Begitu juga PKPD di Kg Dato Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato Ibrahim Majid di Simpang Renggam dilanjutkan sehingga 28 April ini.
Sekali lagi, kami di paultan.org ingin merayu dan memohon jasa baik anda semua untuk terus mematuhi PKP ini bagi memutuskan rantaian penularan wabak pandemik COVID-19. Menurut Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr. Noor Hisham Abdullah semalam, fasa ketiga PKP merupakan tempoh penentu kejayaan (atau kegagalan) usaha mengekang COVID-19. Menurut beliau, sekiranya bilangan pesakit COVID-19 masih menunjukkan peningkatan, tidak mustahil PKP akan dilanjutkan ke fasa yang seterusnya.