Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan waktu operasi Jabatan Imigresen Malaysia dan agensi berkaitan di Bangunan Sultan Iskandar di Tambak Johor akan dihadkan kepada 7 pagi hingga 7 malam mulai Jumaat ini, 24 April 2020.

Walau bagaimana pun, katanya, rakyat Malaysia dari Singapura boleh menggunakan pintu masuk ke dalam negara melalui Kompleks Sultan Abu Bakar di Laluan Kedua yang akan terus beroperasi 24 jam, seperti biasa.

“Maka jika ada kecemasan, ada keperluan rakyat kita untuk pulang ke Malaysia selepas waktu Tambak Johor (Bangunan Sultan Iskandar) ditutup, mereka boleh guna Link Kedua untuk pulang, jika ada kecemasan seperti kematian dan sebagainya.

“Di Link Kedua, kenderaan komersial boleh bergerak seperti biasa,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama. Sementara itu, Ismail Sabri berkata berdasarkan laporan Jabatan Imigresen Malaysia, tiada kemasukan besar-besaran yang melibatkan kepulangan rakyat Malaysia dari Singapura dan purata kemasukan setakat empat hari lepas ialah 400 orang sehari.

Namun demikian, ini bukan bermakna sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) rakyat Malaysia boleh keluar masuk ke Singapura sesuka hati. Hanya yang ada keperluan termasuk hal kecemasan sahaja dibenarkan untuk memasuki Malaysia.