Audi A3 Sedan 2021 dilancarkan di Eropah – imej dan ciri keselamatan dipertingkatkan, dari RM132k

Audi A3 Sedan 2021 dilancarkan di Eropah – imej dan ciri keselamatan dipertingkatkan, dari RM132k

Audi telah pun melancarkan model A3 Sedan 2021, selepas dua bulan A3 Sportback diperkenalkan. Bakal mula dijual di Eropah pada musim panas ini, A3 Sedan ini ditawarkan dengan harga bermula 27,700 euro (RM132k).

Sedan kompak generasi kedua (hatch kini sudah capai kitaran hayat ke-empat) ini lebih besar berbanding model semasa. Ia memiliki dimensi 40 mm lebih panjang iaitu mencapai 4,500 mm, 20 mm lebih lebar menjadi 1,820 mm dan 10 mm lebih tinggi iaitu 1,430 mm, sementara jarak rodanya dikekalkan pada 2,637 mm. Audi berkata ruang kepala kini dipertingkatkan sebanyak 20 mm disebabkan posisi pemanduan yang lebih rendah dan ruang but juga dikekalkan pada 425 liter.

Bagi rekaannya, bahagian hadapan lebih kurang sama dengan Sportback (lampu Matrix LED sebagai pilihan), tapi sedan ini memiliki perbezaan pada bahagian bawah kerangka pintu, sekeliling tingkap dan belakang. Ciri lain yang memiliki persamaan termasuk lampu belakang LED, rekaan pada bahagian bawah bampar dan sambungan diffuser.

Audi A3 Sedan 2021 dilancarkan di Eropah – imej dan ciri keselamatan dipertingkatkan, dari RM132k

Ada beberapa varian termasuk A3 2.0 TDI didatangkan dengan dua modul struktur janaan elektrik yang ditempatkan di belakan gril radiator, membantu sedan ini mencapai nilai pekali seretan yang lebih rendah sekitar 0.25 Cd. Lain-lain ciri aerodinamik termasuklah panel bawah badan, bingkai cermin sisi dan penyejuk brek aktif yang membantu mengurangkan rintangan angin.

Bahagian kokpit kedua-dua model A3 Sportback dan A3 Sedan juga mirip. Ciri standard termasuk kluster instrumen digital 10.25-inci dan paparan sesentuh MMI 10.1-inci yang dipertingkatkan ke Audi Virtual cockpit plus 12.3-inci dengan paparan grafik dan ciri yang lebih baik.

Paparan utama juga boleh dipilih sendiri, dengan pilihan sistem infotainmen termasuk MMI Navigation Plus yang menggunakan platform modular infotainment (MIB) generasi ketiga ciptaan jenama ini sendiri. Ia menawarkan ketersambungan LTE dengan fungsi Wi-Fi hotspot, info trafik dalam talian, imej Google Earth untuk navigasi, ketersambungan car-to-X dengan parkir tepi jalan dan informasi lampu isyarat, Apple CarPlay, Android Auto, pengecas telefon pintar tanpa wayar dan ketersambungan dengan aplikasi telefon pintar myAudi.

Audi A3 Sedan 2021 dilancarkan di Eropah – imej dan ciri keselamatan dipertingkatkan, dari RM132k

A3 Sedan ini akan ditawarkan dengan tiga pilihan penjana kuasa, bermula dengan 35 TDI dengan enjin 2.0 liter empat-silinder bersama hamburan kuasa 150 PS pada 3,000 hingga 4,200 rpm dan tork 360 Nm pada 1,600 hingga 2,750 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi dwi-klac S tronic tujuh-kelajuan dengan teknologi shift-by-wire, dengan pacuan disalurkan ke roda hadapan. Pacuan 0-100 km/j boleh dicapai dalam 8.4 saat, sementara kelajuan tertinggi sehingga 232 km/j.

Varian petrol 35 TFSI pula dijanakan oleh enjin 1.5 liter empat-silinder, dengan output 150 PS dan tork 250 Nm. Kotak gear manual enam-kelajuan yang baru dibangunkan didatangkan secara standard, dengan transmisi automatik S tronic tujuh-kelajuan ditawarkan secara pilihan. Menariknya, Audi mendakwa kedua-dua kotak gear berkenaan mampu mencapai pacuan 0-100 km/j dalam tempoh 8.4 saat, kelajuan maksimum juga sama iaitu pada 232 km/j.

Enjin diesel menggabungkan penggunaan bahan api sekitar 3.9 liter ke 3.6 liter bagi setiap 100 km, manakala untuk petrol pula lebih kurang 5.0 liter ke 4.7 liter per 100 km. Sementara itu, suspensi juga ditala semula untuk memberikan pengendalian yang lebih baik, walau pun dalam konfigurasi standard.

Manakala suspensi sport juga ditawarkan secara pilihan dengan ciri peredam adaptif, yang memberikan kepelbagaian pengendalian bergantung ada pemilihan mod pemanduan. Walau bagaimana pun, tidak seperti A3 Sportback, suspensi belakangnya hanya menerima empat sambungan larasan secara standard bukannya dengan palang torsion.

Bagi aspek keselamatan, A3 Sedan didatangkan dengan sistem bantuan pemandu Audi Pre Sense termasuk menampilkan ciri seperti mitigasi pelanggaran hadapan, bantuan kelajuan adaptif, bantuan lintasan-trafik, dan kamera pandangan sekeliling, tapi standard untuk semua model ialah bantuan mengelak pelanggaran.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required