DS 7 Crossback kini berharga RM259,888 di Malaysia

DS 7 Crossback kini berharga RM259,888 di Malaysia

DS Automobiles Malaysia telah menyemak semula harga bagi DS 7 Crossback, yang kini berharga RM259,888 atas jalan tanpa insurans. SUV premium import sepenuhnya ini dilancarkan di pasaran tempatan pada Jun 2019 dengan harga RM199,888, sekaligus menyaksikan peningkatan sebanyak RM60,000.

Bagi spesifikasinya, DS 7 ini dijanakan oleh enjin petrol 1.6 liter Turbo High Pressure (THP) empat-silinder yang mampu menghamburkan kuasa hingga 165 PS pada 6,000 rpm dan tork 240 Nm bermula 1,400 rpm. Kuasa pacuan disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi automatik enam-kelajuan dengan tuil gear elektronik dan pedal penukar gear.

Bagi spesfikasi model pasaran kita, ia ditampilkan dengan kemasan Performance Line, yang ditambah serlahan black matte, lencana Carmin Red dan roda aloi gaya-turbin “Beijing” Black Onyx 19-inci. Bukan itu saja, ia ditampilkan dengan lampu utama Active LED Vision pada bahagian hadapan yang boleh dilaraskan penyebaran pencahayaan dengan lima mod, bergantung pada keadaan jalan.

DS 7 Crossback kini berharga RM259,888 di Malaysia

Selain itu, indikator arah, lampu kabus LED dan lampu nyalaan siang LED dengan paten titik menegak, juga juga ditampilkan. Di belakangnya, lampu LED nipis diinspirasikan dari model konsep E-Tense, dengan suluhan laser dan skala tiga-dimensi.

Penggayaan luarannya ternyata senada dengan bahagian dalaman, termasuk material Basalt Black Alcantara yang menutupi permukaan kabin, termasuk pada tempat duduk, papan pemuka dan panel pintu. Lain-lain serlahan termasuk ukiran “Clous de Paris” pada suis toggle konsol tengah serta jam analog BRM R180 yang diletakkan di atas papan pemuka.

Ciri tambahan baharu yang ditampilkan ialah skrin sesentuh infotainmen 12-inci yang menggantikan unit lapan-inci terdahulu, yang menyokong fungsi multimedia, Apple CarPlay dan Android Auto, ketersambungan MirrorLink, DS Connect dan kawalan suhu. Sistem ini dipadankan dengan 14-pembesar suara, sistem bunyi Focal Electra Hi-Fi 515 wat, dengan skrin paparan 12-inci sebagai kluster instrumen digital.

DS 7 Crossback kini berharga RM259,888 di Malaysia

Unit infotainmen skrin sesentuh lapan-inci pada model sebelum ini

Kit standard lain termasuk kemasukan tanpa kunci dan butang penghidung enjin, tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan fungsi memori pada bahagian pemandu, tempat duduk belakang boleh dibaringkan secara berkuasa dengan fungsi satu sentuhan, kawalan kelajuan, kawalan suhu auto tiga-zon, cermin pandang belakang anti silau, pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi, kamera undur, cermin hadapan kaca akustik dan tailgate berkuasa bebas tangan.

Bagi aspek keselamatan, DS 7 didatangkan dengan ciri standard termasuk enam beg udara, ABS dengan EBD dan bantuan brek, kawalan kestabilan, dan Amaran Perhatian Pemandu, bersama cagak ISOFIX pada tempat duduk penumpang hadapan dan belakang. Walau bagaimana pun, brek kecemasan sendiri masih tidak ditampilkan bagi model pasaran tempatan.

Masih ditawarkan dengan pilihan warna seperti sebelum ini, iaitu Nera Black, Pearl White, Absolute Red dan Platinum Grey. Ia juga didatangkan dengan waranti lima-tahun/120,000 km, lima tahun bantuan tepi jalan 24 jam, akses ke SkyLounge di Subang Skypark dan juga perkhidmatan DS Only You.

GALERI: DS 7 Crossback 1.6 THP Performance Line 2019

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required