Dalam sidang media harian Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang berlangsung sebentar tadi, beliau mengumumkan bahawa prosedur operasi standard (SOP) khusus melibatkan kawasan-kawasan terjejas akibat COVID-19 yang diklasifikasikan sebagai zon merah, kuning dan hijau akan dikeluarkan tidak lama lagi, lapor Astro Awani.

Menurutnya Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah diarahkan untuk berbincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung perkara tersebut, di mana SOP berkenaan dijangka merangkumi arahan pergerakan keluar dan masuk ke kawasan zon-zon tersebut.

“Sempadan-sempadan misalnya perlu dijaga sebab kita tidak mahu ada orang dari zon merah memasuki zon hijau… sejauh mana kebenaran kita boleh berikan, kalau kita nak beri kelonggaran misalnya… sejauh mana kelonggaran tersebut boleh diberi.

“Jadi, sebab itu kita telah mengarahkan MKN untuk berbincang dengan KKM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mereka mengeluarkan SOP khusus tentang tiga zon tersebut,” katanya dalam sidang media yang berlangsung di Putrajaya itu.

Respon ini diberikan setelah beliau diminta mengulas kemungkinan kerajaan akan mempertimbangkan untuk menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lebih awal di kawasan zon hijau termasuk di Perlis, setelah KKM memaklumkan bahawa negeri tersebut muncul sebagai negeri pertama zon hijau COVID-19 kerana merekodkan kes jangkitan sifar bagi tempoh melebihi dua minggu.