Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) mengingatkan orang ramai yang mahu melakukan perjalanan rentas negeri menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) agar mendapatkan kebenaran dari pihak Polis Diraja Malaysia terlebih dahulu sebelum membeli tiket perjalanan tersebut, lapor Bernama.

Menurut satu kenyataan yang disiarkan oleh kementerian tersebut, ini perlu dilakukan bagi mengelakkan mereka yang mahu melakukan perjalanan tersebut menanggung kerugian sekiranya perjalanan berkenaan tergendala kerana tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa setelah tiket bas atau kapal terbang telah dibeli terlebih dahulu.

“Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan kebenaran PDRM di balai polis berdekatan terlebih dahulu sebelum membeli tiket perjalanan bagi mengelakkan berlakunya kerugian yang terpaksa ditanggung sendiri oleh pengguna pengangkutan awam,” tulis kenyataan berkenaan.

MOT mengambil maklum mengenai pergerakan orang ramai dalam menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk perjalanan rentas negeri apabila syarikat penerbangan kembali membuka operasi untuk penerbangan domestik.

Selari dengan kenyataan media PDRM sebelum ini, orang ramai dinasihatkan supaya memberikan kerjasama dengan hanya memohon untuk mendapatkan permit pergerakan rentas negeri atas sebab-sebab sahih yang ditetapkan.

MOT turut menyarankan orang ramai terutama pengguna pengangkutan awam supaya sentiasa mematuhi garis panduan pencegahan wabak COVID-19 yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM), seperti penjarakan sosial, memakai penutup hidung dan mulut ketika di dalam pesawat serta sentiasa menjaga keselamatan dan kebersihan diri.