Anda rasa Audi RS Avant standard dah cukup kejam? Tunggu dulu, memperkenalkan Audi RS6 Avant C8 yang menerima sentuhan semula oleh Mansory dengan bekalan kuasa 740 PS dan tork maksima 1,000 Nm! Ini adalah model kedua dari Audi yang diusik oleh Mansory selepas model R8 generasi pertama, dan seperti biasa bukan hanya menerima ubahsuai enjin, penampilan luaran dan dalamannya juga turut ditingkat taraf.
Bagi mendapatkan lonjakan kuasa dari kuasa asal 600 PS/800 Nm pada enjin 4.0 liter V8 dengan dua pengecas turbo berkenaan, Mansory telah menukar sistem ekzos dan membuat talaan semula pada kotak komputer enjin. Dengan kuasa 140 PS/200 Nm lebih berkuasa dari sebelumnya, RS6 Avant Mansory ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.2 saat, atau 0.2 saat lebih pantas dari asal.
Kuasa masih disampaikan ke kesemua roda menerusi kotak gear lapan-kelajuan tiptronic automatik, dan juga sistem pacuan semua roda Audi Quattro. Casis RS Avant Mansory ini juga masih menggunakan sistem suspensi udara adaptif standard yang dibekalkan.
Untuk bahagian luaran, wagon yang sudah sedia nampak garang ini tampil lebih agresif dengan kit aero yang terdiri dari spoiler bawah bampar hadapan, skirt sisi dan diffuser belakang – kesemuanya dibuat secara ‘in-house’ oleh Mansory menggunakan bahan gentian karbon.
Sistem ekzos yang telah ditukar juga membuatkan rupa belakang RS6 ini nampak lebih menakutkan kerana dua tip ekzos bulat asal telah digantikan dengan sepasang tip petak berkembar yang mengapit diffuser belakang baharu berkenaan. Badan wagon ini menerima warna Deep Black, bersama jalur berwarna oren, dan dilengkapkan dengan rim aloi forged YN.10 22-inci, dibaluti tayar UHP 295/30R22.
Mansory telah memberikan balutan semula upholsteri kabin wagon Audi ini dengan menggunakan kulit Nappa dan Alcantara, bersama kemasan-kemasan yang lebih mewah gaya Mansory dan juga panel-panel yang diperbuat dari gentian karbon. Untuk menyesuaikan dengan tema badan, tempat duduk, panel pintu, karpet, roda stereng dan konsol tengan diberikan serlahan dan jahitan bersilang berwarna oren.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.