Audi RS6 2020 – hibrid ringkas dengan kuasa 600 PS

Audi RS6 2020 – hibrid ringkas dengan kuasa 600 PS

Audi Sport telah memperkenalkan super wagon terbaru mereka iaitu RS6 Avant yang kini sudah memasuki generasi C8. Ini adalah kali pertama model tersebut datang dengan enjin hibrid ringkas, dan juga akan memasuki pasaran Amerika Syarikat (sebelum ini negara itu tidak menerima RS6 Avant).

Model ini menggunakan enjin petrol V8 4.0 liter biturbo, yang mampu menghasilkan kuasa sebanyak 600 PS dan 800 Nm tork antara 2,100 hingga 4,500 rpm. Hasilnya, ia boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 3.6 saat dan 0-200 km/j dalam masa 12 saat. Dalam keadaan standard, laju maksimumnya dihadkan kepada 250 km/j tetapi pembeli boleh mendapatkan pakej Dynamic dan Dynamic Plus yang mampu memberikan laju maksimum masing-masing 280 km/j dan 305 km/j.

Sistem hibrid pada model ini terdiri daripada belt starter-generator yang memberikan penjanaan semula kuasa elektrik sehingga 12 kW dan disimpan dalam bateri lithium ion. Apabila bergerak di antara kelajuan 55 km/j hingga 160 km/j tanpa sebarang input daripada pedal minyak, sistem pengurusan enjin kenderaan ini boleh melakukan penjanaan semula kuasa atau membiarkan ia meluncur selama hingga 40 saat dengan enjin pembakaran dalaman ditutup.

Audi RS6 2020 – hibrid ringkas dengan kuasa 600 PS

Kuasa daripada enjin ini dihantar kepada semua roda melalui transmisi automatik lapan kelajuan, manakala pembahagian tork dikawal oleh differential tengah mekanikal, dengan nisbah kuasa asal 40:60 antara roda hadapan dan belakang. Pembahagian kuasa ini bergantung kepada keadaan jalan dan cengkaman yang diperlukan, dan ia boleh pergi sehingga 70% pada roda hadapan dan 85% pada roda belakang. Gandar belakang pula dilengkapi dengan differential sport, bersama kawalan tork.

Pada bahagian casis, RS6 Avant C8 menggunakan suspensi five-link di hadapan dan belakang, dan kebanyakan bahagiannya, bersama dengan subframe kenderaan dibuat daripada aluminium. Dalam keadaan standard, RS6 Avant ini duduk 20 mm lebih rendah berbanding A6 Avant, dan suspensi udara sport RS padanya boleh turun lagi sehingga 10 mm pada kelajuan lebih 118 km/j dan naik hingga 20 mm dalam mod tinggi pada kelajuan rendah, secara automatik.

Rim asal yang digunakan pada RS6 Avant C8 terdiri daripada unit aluminium 21 inci yang dipadankan bersama tayar 275/35, tetapi Audi juga ada menawarkan rim khas RS bersaiz 22 inci yang dibalut dengan tayar 285/30.

Audi RS6 2020 – hibrid ringkas dengan kuasa 600 PS

Apabila memakai rim ini, pemilik boleh pula mendapatkan sistem brek seramik RS (pilihan tambahan) yang datang dengan cakera 440 mm di hadapan dan 370 mm di belakang, sementara unit asal adalah cakera besi berukuran 420 mm di hadapan dan 370 mm di belakang. Angkup brek yang datang dengan pakej brek seramik boleh dipilih dalam warna kelabu, merah atau biru, sementara angkup brek asal cuma berwarna hitam.

Pemandu RS6 Avant C8 mempunyai pilihan enam mod pemanduan iaitu Comfort, Auto, Dynamic dan dua mod yang boleh dilaras sendiri iaitu RS1 dan RS2. Pesaing model ini, yang mempunyai bentuk badan sedan iaitu BMW M5 F90 juga mempunyai pilihan yang sama dengan butang M1 dan M2, tetapi RS6 Avant menyediakan operasi pemilihan mod dengan butang RS Mode yang terletak di stereng.

Menurut Audi, setiap mod mempunyai parameter maklum balas pengurusan enjin, transmisi, kuasa bantuan stereng, suspensi, all-wheel steering, differential Quattro belakang, bunyi enjin serta pendingin hawa yang berbeza. Sistem Electronic Stability Control juga boleh ditutup sepenuhnya dalam mod RS2.

Masuk ke bahagian dalam, kokpit digital Audi yang digunakan sekarang mendapat grafik khas RS, yang boleh memapatkan tekanan angin tayar, output kuasa dan tork, suhu minyak enjin, tekanan boost, masa pusingan dalam litar (lap time), ukuran pecutan serta tekanan G. Turut boleh dilihat adalah suhu komponen pacuan dan lampu penukar gear.

Dengan badan jenis wagon, RS6 Avant C8 dapat menyediakan ruang simpanan 565 liter apabila semua tempat duduk tegak, dan 1,680 liter apabila tempat duduk belakang dibaringkan. Bagi memudahkan penggunaannya, kenderaan ini disediakan dengan pintu ruang barangan kuasa elektrik. Tempat duduk hadapan jenis sport RS pada model ini dibalut dengan kulit Valcona yang mempunyai corak honeycomb dan sulaman RS.

Untuk membawa lebih banyak barangan, RS6 Avant C8 boleh didapati dengan cangkuk treler serta kamera belakang yang boleh membantu apabila anda mahu mengundur atau mengendalikan treler tersebut. Model ini boleh didapati dalam pilihan 13 warna dan dua daripadanya adalah khas untuk RS sahaja iaitu Nardo Grey dan Sebring Black.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required