Seperti yang diumumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 2 Mei lalu, pergerakan rentas negeri iaitu memberikan kebenaran kepada orang ramai yang berada di kampung halaman untuk pulang ke kediaman masing-masing akan bermula dari 7 hingga 10 Mei ini.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, pula berkata, orang ramai yang memohon kebenaran untuk pergerakan rentas negeri menerusi Gerak Malaysia perlulah mengemaskini aplikasi terbabit bermula 4 hingga 5 Mei, ke versi terkini untuk maklumat destinasi. Di mana proses analisis maklumat pergerakan adalah pada 6 Mei.

Bagi kelancaran perjalanan, pihaknya juga telah mengeluarkan jadual pergerakan mengikut tarikh dan negeri di Semenanjung Malaysia. Di mana pemohon yang bergerak dari Kuala Lumpur, dibenarkan untuk melakukan perjalanan pada 7 Mei.

Manakala pada 8 Mei pula, adalah bagi pemohon yang bergerak dari Perak, Johor dan Kelantan. Untuk yang bergerak dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Pahang pula dibenarkan melakukan perjalanan pada 9 Mei. Dan pada 10 Mei pula, untuk pemohon yang bergerak dari Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu.

“Perlu diingatkan bahawa pergerakan untuk pulang ke kediaman masing-masing ini dilakukan pada hari yang telah ditetapkan sahaja. Selain itu, permohonan Gerak Malaysia ini juga sah digunakan dalam tempoh dua hari bermula pada tarikh yang diberi mengikut negeri.

“Contohnya anda terkandas di Perak, manakala keluarga pula terkandas di Pahang. Rumah dan tempat kerja pula di Kuala Lumpur. Anda boleh bergerak dari Perak ke Pahang untuk mengambil keluarga. Dan kemudian keesokannya boleh bergerak pulang ke Kuala Lumpur,” ujar Huzir dalam sidang media semalam.

Buat setakat ini, 1.2 juta individu telah memuat turun aplikasi terbabit dan daripada jumlah itu, seramai 503,276 orang sudah membuat permohonan kebenaran pergerakan rentas negeri.

Klik untuk besarkan

Tambahnya, bagi orang ramai yang tiada kemudahan telefon pintar pula, boleh memuat turun borang kebenaran rentas negeri menerusi Facebook dan Twitter rasmi PDRM.

“Borang itu kemudian perlu dicetak dan dua salinan yang telah lengkap diisi butiran yang diperlukan, haruslah diserahkan kepada balai berdekatan untuk kelulusan.

“Bagi mana-mana individu yang langsung tidak mempunyai kemudahan telefon pintar atau rangkaian internet pula, mereka dikehendaki menelefon mana-mana Balai Polis terdekat untuk membuat temu janji bagi mengisi borang “Permit Pergerakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)” yang telah disediakan,” ujarnya lagi.

Menurut Huzir lagi, pihaknya telah menggariskan enam perkara utama membabitkan pergerakan rentas negeri bermula Khamis ini.

“Yang pertama, tiada kemudahan makanan disediakan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R). Kedua, surau ditutup dan orang awam awam tidak dibenarkan solat berjemaah di kawasan itu. Walau bagaimana pun, fasiliti tandas di R&R sahaja dibenarkan beroperasi. Kawasan tempat letak kenderaan di kawasan terbabit pula hanya dibenarkan untuk berehat.

“Kelima, stesen minyak hanya beroperasi dari jam 6 pagi sehingga 12 tengah malam sepanjang lebuh raya. Akhir sekali, pengguna jalan raya dilarang melakukan aktiviti berkumpulan dalam tempoh kebenaran perjalanan itu,” katanya.