Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan pergerakan rentas negeri iaitu memberikan kebenaran kepada orang ramai yang berada di kampung halaman untuk pulang ke kediaman masing-masing akan bermula dari 7 hingga 10 Mei ini.

Menurutnya, bagi memastikan kelancaran perjalanan berkenaan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyediakan jadual pergerakan. Setakat ini, PDRM sudah menerima kira-kira 500,000 permohonan untuk pulang bekerja dan kebenaran bergerak itu bergantung kepada kelulusan Gerak Malaysia.

“PDRM akan mengeluarkan kenyataan media bagi memberikan penjelasan lebih terperinci mengenainya seperti bila dan di mana,” katanya sambil menambah penjawat awam diingatkan supaya tidak terburu-buru pulang hari ini atau esok walaupun pejabat kerajaan mula dibuka Isnin ini.

Jelasnya, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali, telah meberikan persetujuan supaya penjawat awam tidak perlu mula bekerja Isnin ini dan boleh menunggu waktu pulang berdasarkan hari yang akan ditetapkan PDRM.

“Sebagai contoh, kalau jadual perjalanan jatuh pada Jumaat, mereka perlu tunggu pada Jumaat dan boleh bekerja pada Isnin berikutnya,” katanya. Dalam masa yang sama, beliau turut meminta majikan sektor swasta memberi ruang kepada pekerja melakukan perjalanan berdasarkan jadual disediakan PDRM dan tidak mengambil tindakan jika pekerja gagal hadir Isnin ini.

“Saya akan minta Kementerian Sumber Manusia melihat dari aspek perundangan jika tindakan boleh dikenakan kepada majikan yang mengambil tindakan ke atas pekerja mereka kerana ia bukan pilihan pekerja tetapi mengikut peraturan yang ditetapkan PDRM,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan bermula 4 Mei 2020. Ini termasuklah hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan akan dibenarkan beroperasi tertakluk kepada syarat-syarat dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.