Geely baru saja mendedahkan SUV tiga barisan tempat duduk saiz besar dikenali dengan nama Haoyue. Model ini diposisikan untuk bersaing dengan SUV lain seperti Hyundai Santa Fe, Mazda CX-8 dan bahkan Toyota Land Cruiser Prado.

Selain pasaran China, Haoyue juga dijangka akan dijual di pasaran utama lain seperti Eropah. Tetapi, SUV flagship paling besar yang pernah dihasilkan oleh Geely ini juga khabarnya akan memasuki pasaran ASEAN. Kemungkinan ini menarik perhatian ramai orang, tentunya. Jadi, Theophilus Chin cuba membayangkan bagaimana rupa model berkenaan jika ia bakal dikeluarkan oleh Proton.

Imej rendering ini nampak meyakinkan. Elemen khusus Proton, misalnya gril “infinite weave” serta logo baru Proton dikenakan padanya. Di belakang, nama Proton terletak pada bahagian bawah kemasan krom – pada Haoyue, lencana Geely ditekap di atas kemasan krom berkenaan.

Selain daripada warna merah baru, selebihnya kekal dengan ciri dan rekaan SUV sebenar yang menjadi asasnya. Ciri lain antaranya termasuk lampu utama LED dengan DRL LED dalam bentuk L, lampu kabus LED, rim aloi 18-inci, lampu belakang LED, landasan pada bumbung dan bumbung panoramik luas.

Di dalam, SUV saiz besar ini memberi keutamaan kepada praktikaliti dan keselesaan penggunaan. Sebagai contoh, ruang kargo yang tersedia ialah 2,370 liter (dengan kerusi dilipat) bagi mereka yang memilih versi lima tempat duduk. Model tujuh tempat duduk pula masih lagi luas, dengan ruang kargo 2,050 liter jika kerusi barisan kedua dan ketiga dilipat.

Head unit dengan skrin saiz tablet, kawalan pendingin empat-zon serta corong pendingin hawa di barisan kedua antara yang melengkapinya. Hoayue bukanlah satu-satunya kenderaan tujuh tempat duduk yang ditawarkan oleh Geely.

Tahun lalu, MPV Jiaji diperkenalkan, dan dengan segera disangka akan menjadi model Proton seterusnya nanti. Ia mempunyai dimensi 4,706 mm panjang, 1,909 mm lebar dan 1,690 mm tinggi – ini 100 mm lebih panjang dan lebar daripada Proton Exora, dengan ketinggian hampir sama.

Kedua-dua model Haoyue dan Jiaji berkongsi enjin turbocas yang sama. Versi paling asas menggunakan enjin 1.5 liter tiga-silinder petrol, menghasilkan 174 hp dan 255 Nm tork. Sementara unit lebih besar, 1.8 liter empat-silinder menjana 181 hp dan 300 Nm tork. Transmisi automatik klac berkembar tujuh kelajuan akan melengkapi hampir semua varian, dengan Jiaji tetap didatangkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan.

Model Jiaji paling lengkap adalah dari varian plug-in hybrid, dengan kuasa daripada enjin 1.5 liter dengan ciri elektrifikasi. Output keseluruhan sistemnya ialah 255 hp dan 385 Nm, dengan penggunaan petrol hanya 1.6 liter per 100 km, jarak perjalanan elektrik sepenuhnya 56 km, dan boleh dicas dalam masa 90 minit menggunakan pengecas pantas DC.

Di China, Jiaji dijual pada harga bermula 99,800 yuan (RM61k) hingga 148,800 yuan (RM91k). Sebagai perbandingan, Boyue (X70 di sini) bermula pada harga lebih rendah, 88,800 yuan (RM55k). Tetapi jurang harga berbanding versi tertingginya lebih jauh, dengan Boyue paling lengkap berharga 159,800 yuan (RM98k).

Harga bagi Geely Haoyue pula belum diumumkan, tetapi media China melaporkan SUV berkenaan tidak akan dijual melebihi 150,000 yuan (RM92k). Jika ini benar, maka harganya tidak jauh berbeza dari Jiaji, walaupun model paling asas Hoayue dijangka lebih mahal. Antara SUV Haoyue dan MPV Jiaji, mana satu yang akan anda pilih?