September tahun lalu, Mazda 6 diberikan peningkatan dari sudut kelengkapan. Ditawarkan dalam empat varian CBU – 2.0L Sedan, 2.5L Sedan, 2.5L Touring dan 2.2 Diesel Sedan. Kemaskini yang dilakukan hanyalah dari aspek kelengkapan standard, memandangkan Mazda 6 telah diberikan facelift pada 2018.

Galeri yang sedang anda lihat ini adalah bagi varian Mazda 6 yang paling asas yang dijual pada harga RM173,659 atas jalan tanpa insurans. Varian lain dijual pada harga seperti berikut; 2.5L Sedan RM211,418, 2.5L Touring RM215,148, sementara 2.2L Diesel Sedan pada harga RM219,851.

Model ini menggunakan enjin SkyActiv-G 2.0 liter empat-silinder petrol yang digandingkan bersama transmisi automatik SkyActiv-Drive enam-kelajuan dengan kuasa disalurkan ke roda hadapan. Ia menghasilkan 162 hp pada 6,000 rpm dan 213 Nm tork pada 4,000 rpm, dengan kadar penggunaan minyak 6.5 l/100 km.

Tambahan terbaru ialah ciri G-Vectoring Control Plus (GVC Plus), versi terbaru yang dipertingkat daripada GVC terdahulu. Ini adalah standard bagi semua varian Mazda 6, sama seperti teknologi melahu i-Stop dan mod Sport (kecuali 2.2 Diesel Sedan). Bagaimanapun, ciri brek regeneratif i-Eloop hanya ada pada model 2.5L.

Mazda 6 2.0L Sedan didatangkan dengan lampu utama dan lampu brek LED, rim 17-inci aloi dengan tayar 225/55, sistem tanpa kunci, pengilap cermin automatik, kamera undur serta sensor parkir (empat di belakang dan empat di depan). Di dalam pula lengkap dengan paparan instrumen kluster TFT LCD 4.6-inci, kemasan kulit, kawalan pendingin dwi-zon, kerusi pemandu larasan 10-cara manakala larasan 6-cara bagi kerusi penumpang.

Bagi infotainmen, sistem Mazda Connect dengan skrin lapan-inci ditawarkan, dan kini lengkap dengan sokongan Apple CarPlay atau Android Auto bagi semua varian. Sistem audio bagi varian 2.0L Sedan terdiri daripda enam pembesar suara biasa, sementara varian lain menggunakan sistem bunyi dengan 11 pembesar suara Bose.

Kelengkapan keselamatan pula terdiri daripada enam-beg udara, ABS, EBD, EBA, Dynamic Stability Control, kawalan cengkaman, bantuan mendaki bukit dan Isofix. Bagaimanapun, tiada ciri keselamatan aktif i-Activsense yang hanya untuk varian lebih tinggi.

Pilihan warna pula terdiri daripada Soul Red Crystal, Machine Grey, Snowflake White Pearl, Deep Crystal Blue, Sonic Silver, Titanium Flash dan Jet Black. Setiap pembelian datang dengan jaminan pengeluar dan pakej servis percuma lima-tahun/100,000 km.