Kemalangan maut yang disebabkan oleh pemandu di bawah pengaruh alkohol umpama ‘barah’ dalam masyarakat. Biar pun bilangan kes yang menyebabkan orang lain yang tidak bersalah maut di jalan raya gara-gara sikap dungu individu mabuk alkohol ini amat mendukacitakan, namun masih ramai golongan yang mementingkan diri sendiri tidak peduli dengan senario ini.

Biar pun banyak pihak yang menghentam perbuatan keji pemandu mabuk ini, namun masih ada juga segelintir masyarakat yang memberikan cadangan tidak boleh diterima dek kewarasan akal termasuklah ‘jangan jual kenderaan kalau tidak mahu perkara ini terus berlaku’.

Terbaru, Seorang lelaki maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta dipandu lelaki disyaki mabuk di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala ke ibu negara, awal pagi tadi. Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Mohamed Zaili Mohamed berusia 44 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala.

Semalam, menerusi operasi (op) mabuk di sekitar ibu kota, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim turut memaklumkan seramai 979 individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol ditahan sepanjang tahun 2019.

Tanpa memperincikan maklumat pecahan statistik kes itu, beliau berkata ada antaranya dituduh di mahkamah dan ada sehingga kini masih dalam siasatan.

“Kebiasaannya trend pemandu mabuk di ibu negara berlaku selepas tengah malam,” katanya seperti dilaporkan oleh Bernama.

Menurut Mazlan, dalam tempoh Januari hingga Mei tahun ini, seramai 455 orang ditahan atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol.

Sementara itu, mengenai operasi yang bermula pada pukul 11 malam sehingga 1 pagi itu, Mazlan berkata lapan individu termasuk dua bukan warganegara ditahan di tiga lokasi iaitu di Solaris, Jalan Raja Chulan dan Jalan Klang Lama, di sini kerana berada di bawah pengaruh alkohol.

“Saya ingin menasihatkan orang ramai agar mematuhi undang-undang dan berharap operasi dijalankan ini dapat mengurangkan jumlah mereka yang membawa kenderaan di bawah pengaruh alkohol bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini,” katanya.

Kelmarin, menerusi entri di laman Facebook rasminya, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengarahkan Kementerian Pengangkutan merangka pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) supaya hukuman lebih berat dikenakan terhadap individu yang disabitkan dengan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

Beliau turut memaklumkan pindaan akta ini akan dimuktamadkan pertengahan Jun depan sebelum dibawa ke Dewan Rakyat untuk dibentangkan pada persidangan akan datang.

Mengikut undang-undang sedia ada, individu yang memandu dalam keadaan mabuk boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.

Manakala bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kematian pula, pesalah boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 dan penjara maksimum 10 tahun.