Ford Ranger FX4 2020 kini di Malaysia – RM127k

Ford Ranger FX4 2020 kini di Malaysia – RM127k

Seperti yang telah diumumkan bulan lalu, hari ini Sime Darby Auto ConneXion (SDAC) telah pun melancarkan trak pikap Ford Ranger FX4 2020 untuk pasaran Malaysia. Model yang dihasilkan dari Ranger T6 XLT ini hadir dengan pelbagai aksesori bagi memberikan rupa yang lebih sporty dan tersendiri.

Seperti model FX4 terdahulu, konsep yang diberikan pada model baharu ini adalah sama. Ia hadir dengan gril hadapan rekaan baharu serta diberikan kemasan Ebony Black termasuk pada bahagian lain seperti bampar hadapan dan belakang. Manakala penutup cermin sisi dan pembuka pintu pula hadir dengan kemasan hitam berkilat.

Varian ini juga diberikan rim aloi 18-inci rekaan khas yang juga tampil dalam kemasan Ebony Black, dibalut dengan tayar 265/60R18. Selain itu, FX4 turut diberikan bezel pada lampu hadapan bi-LED yang digelapkan serta pelekat badan FX4 pada bahagian sisi bersama emblem Ranger 3D di belakang.

Ford Ranger FX4 2020 kini di Malaysia – RM127k

Untuk kabin, FX4 turut menerima sentuhan istimewa seperti tempat duduk kulit hitam dengan logo FX4 yang ditekap, serta panel atas panel instrumen sentuhan lembut kemasan Ebony Black. Serlahan jahitan benang berwarna Race Red dapat dilihat pada roda stereng, tempat duduk dan tombol gear. Model ini juga diberikan karpet kaki istimewa dengan sulaman logo FX4.

Untuk kelengkapan lain, FX4 masih hadir dengan spesifikasi sama seperti Ranger XLT. Ini termasuk sistem infotainmen Ford SYNC 3 dengan skrin lapan-inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto, enam-pembesar suara, paparan berwarna pelbagai info 4.2-inci, tempat duduk larasan berkuasa enam-hala untuk pemandu dan empat hala untuk penumpang hadapan serta cermin sisi boleh-lipat elektrik.

Unit penjana juga masih sama seperti Ranger XLT dengan enjin Puma 2.2 liter TDCi VGT turbodiesel berkuasa 160 PS dan tork maksima 385 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear enam-kelajuan automatik, serta sistem pacuan empat roda yang beroperasi dengan sistem on-the-fly shifting, dan juga locking diff elektronik pada gandar belakang.

Ford Ranger FX4 2020 kini di Malaysia – RM127k

Ford Ranger FX4 2020 ini dijual pada pasaran tempatan dengan harga atas jalan tanpa insuran RM126,888. Ia ditawarkan dalam tiga warna berbeza iaitu Meteor Grey, Absolute Black dan Arctic White. Setiap pembelian akan menerima perlindungan waranti selama tiga-tahun atau 100,000 km, yang mana sampai dahulu.

Jika anda berminat dengan trak pikap dengan rupa lebih kacak ini, anda disarankan untuk menempahnya segera kerana SDAC mengumumkan 150 pelanggan terawal akan menerima aksesori percuma bernilai RM5,398. Ia termasuk sports bar untuk bed belakang dalam kemasan hitam matte, filem penapis haba eksekutif untuk cermin tingkap dan juga Perakam Video Digital (DVR) berdefinasi tinggi bina-dalam.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Learn more:

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required