Jika anda belum tahu, Ford Ranger FX4 ini merupakan penawaran tertinggi bagi varian 2.2L model berkenaan. Kiranya sama seperti versi Wildtrak pada varian 3.2L. Ia diperkenalkan pada April lalu pada harga RM121,888 dan hadir dengan aksesori yang diwarisi dari Wildtrak – dalam imej yang lebih ringkas dan ranggi. Harganya adalah sekitar RM7,000 lebih tinggi berbanding varian 2.2 XLT.

Harga berkenaan bagaimanapun jauh lebih rendah berbanding versi Wildtrak 3.2L (RM140k), yang tentunya dilengkapi dengan lebih banyak ciri-ciri tambahan. Untuk mudah faham, versi FX4 ini bolehlah dianggap sebagai varian dengan aksesori Wildtrak bagi model 2.2L.

Jadi, di dalam video ini, kami memberi tumpuan kepada perbezaan antara FX4 dengan varian 2.2L XLT. Antaranya, FX4 hadir dalam aksesori dan kemasan dengan tema hitam, baik dari luaran dan juga dalamannya. Ia hanya ditawarkan dalam dua warna, kelabu yang anda lihat ini (Meteor Grey) dan satu lagi warna yang lebih cerah (Aluminium Metallic).

Enjin masih menggunakan unit yang sama seperti sebelum ini, 2.2 liter empat-silinder turbodiesel yang menghasilkan 158 hp dan 385 Nm tork. Ini dipadankan dengan sistem transmisi automatik enam-kelajuan. Jadi, untuk mengetahui lebih lanjut berkaitan Ford Ranger FX4 ini, tonton video yang kami sediakan.

Untuk perincian spesifikasi lanjut berkaitan Ford Ranger dan perbezaan penawaran dari pesaingnya yang lain, anda boleh juga merujuk laman CarBase.my. Ford jua mengumumkan kenaikan harga terbaru bagi model Ranger pada Mac lalu.