Pasaran untuk kereta-kereta dengan transmisi manual semakin lama menjadi semakin kecil. Namun disebabkan ia masih lagi ada permintaan (50% pemandu di Eropah masih menggunakannya) dan percaya bahawa transmisi berkenaan adalah salah satu cara bagi mendapatkan pemanduan yang efisien, Kia masih lagi membangunkan transmisi berkenaan, serta telah memperkenalkan teknologi baharu Transmisi Manual pintar atau iMT.

Teknologi iMT ini membolehkan transmisi manual dipadankan pada unit janakuasa hibrid ringkas 48-volt dan juga membolehkan fungsi ‘coasting‘ (enjin dimatikan semasa masih bergerak, ketika kereta sedang ‘belayar’ bagi menjimatkan bahan api) boleh diaktifkan walaupun tanpa transmisi automatik.

Bagaimana sistem iMT ini berfungsi? Secara bijak, Kia telah menggantikan sistem konvensional yang menggunakan pam klac hidraulik dengan actuator klac elektromekanikal – pam tidak lagi dihubungkan terus dengan pedal secara mekanikal, tetapi berfungsi secara clutch-by-wire, dan ia dikawal oleh kotak komputer khas serta boleh dihubungkan kepada operasi sistem hibrid ringkas dan juga unit starter-generator hibrid ringkas (MHSG) sistem berkenaan.

Menerusi sistem ini, klac dapat memutuskan hubungan antara enjin dan kotak gear secara automatik ketika enjin masuk ke fungsi coasting berkenaan, dan hubungan tersebut dapat disambungkan kembali apabila enjin mula hidup semula sendiri apabila kuasa diperlukan kembali.

Untuk memudahkan anda faham, kita letakkan dalam satu situasi; apabila kereta hampir tiba di selekoh atau persimpangan, secara normalnya kaki pemandu akan diangkat dari pedal pendikit untuk memperlahankan kereta. Sejurus kaki diangkat, klac akan memutuskan hubungan transmisi dan enjin secara automatik, kemudian enjin juga akan dimatikan secara automatik bagi membolehkan kereta tersebut ‘berlayar’ seketika bagi menjimatkan bahan api.

Jika perlu, ketika ini juga unit MHSG yang menerima kuasa 48-volt dari bateri hibrid akan memberikan tork bagi membantu menggerakkan tayar kereta berkenaan.

Apabila kuasa diperlukan kembali, pemandu hanya perlu menekan pedal pendikit, kemudian unit MHSG akan menghidupkan semula enjin secara automatik serta akan memadankan kelajuan enjin dengan tahap gear sistem transmisi yang telah dimasukkan secara manual sebelum itu, dan klac juga akan disambungkan semula – kesemua proses ini berjalan secara sangat lancar.

Menurut Kia, keseluruhan operasi sistem iMT ini telah terbukti menjimatkan penggunaan bahan api dan pencemaran CO2 sebanyak 3% dalam pemanduan dunia sebenar. Jenama Korea tersebut turut mendakwa bahawa pedal klac sistem iMT ini memberikan rasa yang sama seperti pedal sistem konvensional, malah ia akan memberikan operasi yang lebih lancar kerana sistem kawalan elektromekanikal berkenaan akan memberikan ‘poin cengkaman semula’ yang lebih tepat.

Sistem iMT ini sebenarnya telahpun dipadankan pada model-model produksi terkini Kia seperti i30 2020 dan juga Rio facelift. Ia kemudiannya akan dipadankan pada model-model hibrid ringkas petrol dan diesel yang lain – termasuk Kia Ceed pasaran Eropah yang akan menerima varian EcoDynamics+ baharu yang dijana enjin diesel 1.6 liter CRDi.