Selain dari keseronokan melihat aksi power slide, melompat dan sebagainya, salah satu elemen yang begitu mengasyikkan ketika menonton perlumbaan rali adalah bunyi enjin. Sekiranya jentera tersebut menggunakan enjin NA, kita akan dapat mendengar pemandu menekan pedal pendikit semahunya dan enjin menjerit dengan RPM tinggi, manakala untuk enjin turbo bunyi ‘tembakan’ dari ekzos yang dihasilkan dari sistem anti-lag begitu mengujakan.

Namun seperti mana-mana juga disiplin sukan permotoran, kita tidak boleh menafikan bahawa satu masa nanti sudah tentu enjin-enjin pembakaran dalaman pada kereta-kereta rali ini akan digantikan dengan motor elektrik. Tahun ini sepatutnya kategori kereta elektrik dalam kejohanan RallyCross Dunia FIA (World RX) sudah bermula tetapi ditangguh ke tahun hadapan kerana pendemik Covid-19, manakala WRC sendiri akan mula menggunakan sistem hibrid bermula musim 2022.

Jadi, masih seronok untuk ditonton ke sekiranya sukan rali ini nanti dijalankan dengan kereta elektrik sepenuhnya? Untuk membayangkannya, mungkin anda boleh tonton video ujian kereta rali Opel Corsa-e Rally ini. Jelas, tiada lagi sebarang bunyi mekanikal disebabkan pembakaran terhasil, diganti dengan bunyi nyaring dari motor elektrik seakan bunyi tren KTM Komuter.

Walau bagaimanapun, Opel Corsa-e tersebut masih menyajikan aksi yang lincah ketika meredah selekoh tajam dalam kelajuan tinggi. Pecutannya juga tidak nampak sebarang perbezaan berbanding kereta rali konvensional.

Opel Corsa-e Rally ini didedahkan buat kali pertama pada Frankfurt International Motor Show tahun lalu. Ia masih belum boleh berlumba dalam mana-mana kategori perlumbaan rali yang dianjurkan oleh FIA, namun satu kejohanan rali ‘one-make’ digelar ADAC Opel-E Rally Cup 2020 akan dilangsungkan di Jerman tahun ini, disertai oleh 15-orang pemandu muda.

Opel Corsa-e Rally ini digerakkan dengan motor elektrik sama seperti Corsa-e produksi jalan raya biasa, menghasilkan 100 kW (136 hp) dan tork maksima 260 Nm. Ia menerima bekalan kuasa dari pek bateri lithium-ion 50 kWj yang boleh dicas cepat yang boleh mencapai 80% penuh dalam masa 30 minit.

Kereta tersebut juga masih boleh di cas dengan kabel menerusi wallbox atau pengecaj kelajuan tinggi, manakala paras kuasa dalam bateri boleh diperiksa menerusi aplikasi “myOpel”.

Menurut Opel, Corsa-e Rally ini akan memberikan pemanduan dinamik dan seronok sama seperti model produksinya, dengan tambahan peralatan rali lain seperti suspensi rali boleh laras, roll cage bersepadu yang ringan, komputer trip rali dari Tripmaster, pelindung bawah badan untuk melindungi motor elektrik dan transmisi, pemadam api elektrik, dan juga sistem amaran keselamatan elektrik bervoltan tinggi yang baru sahaja dihasilkan.

Kereta rali ini ditimbang dengan berat 1,400 kg, dan ia diukur sedikit lebih besar dari model jalan raya biasa. Ia 5 mm lebih lebar dan tinggi, manakala jarak rodanya ditarik 2 mm lebih panjang. Selain itu, ia turut menerima peralatan perlumbaan lain seperti paparan instrumen perlumbaan dengan sistem data-logger, brek tangan hidraulik jenis “fly-off”, serta brek dengan sistem pengurusan dan pemulihan tenaga.

Tiada sistem pacuan semua roda pada Corsa-e ini dimana kuasa dari motor elektrik hanya memacu roda hadapan. Namun ia tetap menerima LSD jenis Torsen bagi mendapatkan lebih cengkaman pada kedua-dua roda hadapan. Corsa-E Rally ini juga diberikan set rim 17-inci dengan offset ET20, dan sistem lampu-lampu tambahan untuk SS pada kawasan gelap.

GALERI: Opel Corsa-e Rally