Prodrive akhirnya mengaku Proton Putra WRC adalah hasil kerja mereka ketika masih bersama Subaru

Rata-rata peminat sukan permotoran dah tahu bahawa jentera rali dunia Proton Putra WRC adalah hasil kerja firma kejuruteraan perlumbaan British iaitu Prodrive berdasarkan rekaan luaran dan dalaman dengan ‘irama rekaan’ yang sama seperti Subaru Impreza WRC 1997, bersama tempat duduk Sparco Prodrive yang sama seperti jentera Colin McRae.

Namun sejak Putra WRC ini terdedah pada pengetahuan umum, tiada sebarang kenyataan dari Prodrive sendiri yang mengesahkan bahawa jentera tersebut dihasilkan oleh mereka.

Untuk yang masih belum mengetahui, pasukan rali dunia Subaru (SWRT) bukanlah pasukan yang diuruskan sendiri oleh Subaru atau badan penala rasminya, Subaru Technica International (STI) di Jepun. Sebaliknya, segala kerja-kerja pembangunan kereta lumba hingga kepada pengurusan pasukan adalah dibuat oleh Prodrive yang berpangkalan di Banbury, UK.

Prodrive telah menguruskan pasukan ini sejak Subaru menyertai musim penuh WRC bermula pada tahun 1990 dengan model Legacy RS, sehingga jenama berkenaan menarik diri pada penghujung tahun 2008. Sepanjang 18-tahun bersama Prodrive dalam WRC, Subaru berjaya memperolehi tiga gelaran juara dunia untuk pemandu dan tiga gelaran juara dunia untuk pengeluar.

Prodrive akhirnya mengaku Proton Putra WRC adalah hasil kerja mereka ketika masih bersama Subaru

Mungkin disebabkan hubungannya dengan Subaru dalam WRC selama ini menyebabkan Prodrive membisu berkenaan projeknya bersama Proton tersebut. Namun selepas Proton secara rasmi mengatakan bahawa Putra WRC tersebut memang dihasilkan oleh Prodrive dan mengumumkan ia kini adalah koleksi kekal Proton Motorsport minggu lalu, Prodrive juga nampaknya sudah mula membuka mulut dan mengakui bahawa jentera berkenaan memang hasil kerja mereka.

Pengakuan tersebut dibuat oleh Prodrive menerusi laman Twitter rasmi mereka dengan menyertakan artikel paultan.org dalam versi bahasa inggeris, dan menyatakan bahawa projek WRC berkenaan dibuat pada penghujung era 90’an, iaitu ketika era kegemilangan mereka bersama Subaru.

Proton Putra WRC ini dihasilkan dengan regulasi WRCar yang diperkenalkan pada tahun 1997. Regulasi tersebut menggantikan undang-undang Group A sebelumnya sebagai kategori utama WRC. Menerusi regulasi WRCar ini, FIA tidak lagi mensyaratkan pengeluar untuk menghasilkan model ‘homologation special’ sebanyak 2,500 unit setahun seperti Subaru Impreza WRX dan juga Mitsubishi Lancer Evolution.

Ini membolehkan lebih banyak pengeluar berpeluang bertanding dalam WRC kerana jentera WRCar mereka bebas untuk disumbatkan dengan enjin 2.0 liter turbo bersama sistem pacuan semua roda, walaupun dalam versi produksi ia hanya dipadankan dengan enjin NA bersama kapasiti lebh rendah dan hanya memacu roda hadapan.

Proton yang sebelum itu aktif dalam kejohanan rali Asia Pasifik (APRC) dengan jentera ‘Proton Wira 4WD’ yang sebenarnya Mitsubishi Lancer Evolution III berpeluang untuk bertarung dalam pentas utama WRC dengan pengenalan undang-undang WRCar berkenaan.

Disinilah penglibatan Prodrive bermula dengan mentransformasi Proton Putra kepada jentera rali yang memenuhi regulasi WRCar. Prodrive telah membina semula enjin NA 4G93P 1.8 liter pada Putra standard dengan menaikkan sesarannya kepada 2.0 liter, disuap dengan pengecas turbo dengan unit restrictor udara 34 mmm, bersama sistem anti-lag bagi menghasilkan kuasa sekitar 300 hp, dan memandankan kotak gear sequential enam-kelajuan dari Hewland, serta sistem pacuan empat roda sepenuh masa kepada Putra WRC ini.

Seperti kereta-kereta WRCar lain pada zaman tersebut, badan Putra ini dilebarkan lagi bagi membolehkan sistem suspensi dengan geometri lebih mesra rali dipadankan serta memenuhi dimensi maksima yang dibenarkan undang-undang FIA iaitu lebar maksima adalah 1770 mm, manakala trek roda hadapan dan belakang pula tidak boleh melebihi 1,550 mm.

Prodrive akhirnya mengaku Proton Putra WRC adalah hasil kerja mereka ketika masih bersama Subaru

Ia turut menerima sistem brek perlumbaan dari AP Racing, serta rim O.Z Racing berdiameter 18-inci, dibaluti tayar rali tarmac Pirelli P-Zero. Berat keseluruhan jentera ini juga menepati undang-undang WRCar FIA iaitu 1,230 kg.

Prodrive turut mereka semula bampar hadapan, memberikan liang udara pada bonet, skup kemasukan udara pada bumbung dan juga spoiler belakang bersaiz besar.

Pada bahagian dalaman, Prodrive memadankan rollcage penuh, tempat duduk bucket perlumbaan bersama tali pinggang keledar lima-poin, roda stereng perlumbaan Sparco, pedal box, tuil brek tangan rali, komputer trip rali, serta kemasan-kemasan gentian karbon sebenar.

Walau bagaimanapun, sehingga kini belum ada lagi sebarang kenyataan rasmi dari Proton mahupun Prodrive mengapa projek Proton WRC ini tidak diteruskan.

GALERI: Imej Proton Putra WRC oleh Jay’s Speed-graphy

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

 

Add a comment

required

required