Bulan lalu kecoh seketika apabila berberapa kereta rali bersejarah yang sebelum ini berada di tempat parkir Garaj Warisan Proton ‘hilang’, dan kemudian dijumpai di pusat lelongan Pickles Auction di Jalan Klang Lama untuk dilupuskan. Walau bagaimanapun, atas keprihatinan peminat sukan permotoran tempatan, suara demi suara disampaikan, dan akhirnya lelongan tersebut ditarik balik.

Namun untuk pengetahuan anda, bukan semua kereta-kereta lumba bersejarah diletakkan di bawah pengawasan Garaj Warisan Proton. Ada sebahagian kereta-kereta lumba ini disimpan dan dijaga rapi oleh divisi perlumbaan rasmi jenama automotif nasional ini iaitu Proton R3 di bawah seliaan prinsipal pasukan tersebut, Gary Lee.

Antara jentera-jentera berkenaan, termasuklah Proton Putra WRC ini. Dan hari ini menerusi laman rasmi pasukan tersebut, Proton Putra WRC diisytihar sebagai koleksi kekal Proton Motorsport.

Jentera ini dihasilkan ketika Proton cuba untuk menyertai kategori utama dalam Kejuaraan Rally Dunia (WRC) bagi memberikan saingan terus kepada pasukan seperti Subaru World Rally Team (SWRT) dan Mitsubishi Ralliart, namun ia tidak pernah sempat untuk berlumba.

Menurut Proton, kereta ini dibangunkan oleh pihak sama yang bertanggungjawab mengendalikan SWRT iaitu Prodrive dari Banburry, UK. Peluang untuk Proton bertarung dalam kategori utama WRC berkenaan hadir setelah regulasi perlumbaan tersebut diubah oleh FIA pada tahun 1997.

Untuk pengetahuan anda, selepas rali Group B diharamkan pada penghujung 1986 setelah berberapa orang penonton dan pemandu yang terkorban kerana kereta-kereta yang bertanding terlalu berkuasa, FIA telah menggantikan kelas berkenaan dengan kelas Group A sebagai kategori tertinggi dalam WRC.

Secara asas, Group A ini merupakan kelas ‘Production Modified‘, atau katagori di mana pasukan yang bertanding perlu menggunakan kereta-kereta produksi sebenar yang dijual di bilik pameran, dan kemudian diubahsuai mengikut had-had yang telah digariskan dalam undang-undang.

Atau secara spesifiknya, FIA menetapkan bahawa mana-mana pengeluar yang mahu bertanding dalam WRC, mestilah menghasilkan sekurang-kurangnya 5,000 unit versi produksi ‘homologation special’ (kemudian diturunkan hanya 2,500 unit pada tahun 1993) menggunakan enjin, sistem pacuan dan rupa luaran yang sama dengan kereta yang mahu digunakan pada perlumbaan sebenar, seperti Mitsubishi Lancer Evolution dan Subaru Impreza WRX.

Walau bagaimanapun, Group A hanya bertahan sehingga tahun 1996. FIA mahukan kereta yang lebih berkuasa tanpa sekatan-sekatan tertentu dan memudahkan banyak pengeluar lain untuk menyertai WRC. Oleh itu, bermula pada 1997 undang-undang WRCar mula diperkenalkan dan bertahan sehingga sekarang.

Menerusi undang-undang WRCar ini, tidak ada lagi syarat homologasi produksi seperti Group A diperlukan. Jadi pengeluar bebas untuk menggunakan kerangka asas sebuah kereta produksi, dengan teknologi prototaip pada jentera lumba mereka. Secara tidak langsung, ini memberikan peluang buat Proton untuk pergi lebih jauh dalam saingan WRC.

Walaupun model produksi Proton Putra hanya dijana enjin 4G93 1.8 liter NA pacuan roda hadapan, undang-undang WRCar membolehkan kereta tersebut disuap dengan pengecas turbo serta diberikan sistem pacuan empat roda, dan yang paling penting tiada model ‘homologation special’ perlu dihasilkan Proton untuk dijual ke pasaran.

Oleh itu, Prodrive telah membina semula enjin 4G93T 1.8 liter tersebut dengan menaikkan sesarannya kepada 2.0 liter, disuap dengan pengecas turbo dengan unit restrictor udara 34 mmm, bersama sistem anti-lag bagi menghasilkan kuasa sekitar 300 hp, dan memandankan kotak gear sequential enam-kelajuan dari Hewland, serta sistem pacuan empat roda sepenuh masa kepada Putra WRC ini.

Seperti kereta-kereta WRCar lain pada zaman tersebut, badan Putra ini dilebarkan lagi bagi membolehkan sistem suspensi dengan geometri lebih mesra rali dipadankan serta memenuhi dimensi maksima yang dibenarkan undang-undang FIA iaitu lebar maksima adalah 1770 mm, manakala trek roda hadapan dan belakang pula tidak boleh melebihi 1,550 mm.

Ia turut menerima sistem brek perlumbaan dari AP Racing, serta rim O.Z Racing berdiameter 18-inci, dibaluti tayar rali tarmac Pirelli P-Zero. Berat keseluruhan jentera ini juga menepati undang-undang WRCar FIA iaitu 1,230 kg.

Prodrive turut mereka semula bampar hadapan, memberikan liang udara pada bonet, skup kemasukan udara pada bumbung dan juga spoiler belakang bersaiz besar. Secara keseluruhan, rupa Putra WRC ini seakan sebuah lagi jentera sentuhan Prodrive iaitu Subaru Impreza WRC 1997.

Pada bahagian dalaman, Prodrive memadankan rollcage penuh, tempat duduk bucket perlumbaan bersama tali pinggang keledar lima-poin, roda stereng perlumbaan Sparco, pedal box, tuil brek tangan rali, komputer trip, serta kemasan-kemasan gentian karbon sebenar.

Tidak diketahui mengapa Proton tidak meneruskan projek Putra WRC ini, dan selepas itu juga ia seakan dirahsiakan oleh Proton sendiri. Seperti biasa, pasti ada khabar angin bertiup selepas projek tersebut dihentikan.

Ada desas-desus mengatakan bahawa Prodrive tidak mengaku telah menghasilkan Putra WRC berkenaan. Tidak hairanlah kerana mereka mempunyai jalinan kerjasama yang telah lama dengan Subaru, dan projek ini mungkin akan mendatang konflik antara mereka.

Terdapat juga khabar angin yang agak merepek iaitu Prodrive telah menjual ‘blueprint’ Putra WRC ini kepada Subaru untuk menghasilkan Impreza WRC setelah Proton tidak bersetuju untuk meneruskan projek tersebut.

Kenapa merepek? Kerana Impreza dan Putra merupakan dua buah kereta yang berbeza dari segenap sudut walaupun rupanya hampir sama, tidak mungkin boleh berkongsi satu blueprint yang sama. Dan untuk pengetahuan anda, Subaru Impreza WRC 1997 adalah kereta pertama di dunia yang memenuhi undang-undang WRCar, dan pembinaannya telah bermula seawal bulan Februari 1996.

GALERI: Imej Proton Putra WRC oleh Jay’s Speed-graphy