Ini satu lagi lanjutan perkara yang kami naikkan sebelum ini di mana sebahagian kereta-kereta bersejarah Proton Motorsport termasuk jentera-jentera rali Proton PERT yang terkenal di arena antarabangsa telah ‘hilang’ dari tempat parkir Garaj Warisan Proton, Hicom, dan kemudian kami temuinya bersama kereta-kereta lain di pusat lelongan Pickles Auction di Jalan Klang Lama minggu lalu.

Petang tadi, laman Facebook rasmi Pickles Auction mengumumkan beberapa kereta berkenaan telah ditarik balik dari di lelong. Kami masih belum tahu sebab sebenarnya, namun jika ini adalah tindak balas dari Proton sendiri yang mendengar suara-suara peminat automotif tempatan, kami mengucapkan Alhamdulillah dan setinggi-tinggi terima kasih atas tindakan tersebut.

Antara kereta yang telah ditarik balik adalah semua model-model yang dijana oleh enjin Petronas E01 termasuk Proton Satria GTI, Proton Putra, Proton Perdana dan dua buah Lotus Elise. Sebuah Lotus Europa S berwarna kuning dan juga sebuah Satria Cabriolet (berwarna ungu) turut tersenarai dalam penarikan semula dari lelongan ini.

Walau bagaimanapun, jentera rali PERT Proton Wira 4WD Turbo pemenang Rali Ng Pilipinas untuk tahun 1995, 1996 dan 1997 serta Proton Waja Turbo 4WD telah terjual pada minggu lalu – kami sangat berharap pemilik barunya tahu akan sejarah kereta-kereta tersebut dan ia tidak diceraikan sebagai alat ganti.

Manakala untuk jentera gantian yang digunakan dalam Kejohanan Rali Asia Pasifik, dan juga ‘artifak’ serta ‘sumber primer’ untuk sejarah bahawa kita pernah melahirkan seorang juara dunia dalam WRC iaitu Proton PERT Evo VI dengan nombor pendaftaran ‘PROTON 1880’ masih lagi disenaraikan untuk dilelong. Jika ada pihak dari Proton yang terbaca artikel kami ini, tolong, itu satu lagi jentera penting yang perlu diselamatkan.

Apa pun, kami dan juga peminat automotif dan sukan permotoran berharap agar satu muzium atau galeri Proton untuk mempamerkan bahan-bahan sejarah ini akan direalisasikan satu masa nanti. Bagi anda yang masih belum tahu apa cerita sebenar, sila baca dahulu dua artikel kami sebelum ini pada PAUTAN INI dan PAUTAN INI.

Kemaskini: Proton PERT Evo VI ‘Proton 1880’ turut telah diumumkan ditarik balik dari dilelong oleh Pickles Auction!

GALERI: Kereta rali bersejarah Proton Motorsport di Pickles Auction, Jalan Klang Lama

GALERI: Kereta Proton dan Lotus dengan enjin Petronas E01 di Pickles Auction, Jalan Klang Lama

GALERI: Kereta bersejarah Proton di Pickles Auction, Jalan Klang Lama

GALERI: Kereta konsep pertandingan kemahiran Proton di Pickles Auction, Jalan Klang Lama