Jentera lumba, model rare Proton dan Lotus di Pickles Auction – patutkah warisan sejarah berada di sini?

Jentera lumba, model <em>rare</em> Proton dan Lotus di Pickles Auction – patutkah warisan sejarah berada di sini?

Ini adalah lanjutan dari laporan kami pada minggu lalu apabila berberapa kereta lumba bersejarah Proton Motorsport yang diletakkan di tempat parkir Garaj Warisan Proton di Hicom, Shah Alam dikesan tidak lagi berada ditempatnya. Kami ikuti maklumat-maklumat yang tular, memang benar Proton PERT Evo VI, Waja Evo dan juga Proton Wira 4WD berkenaan kini berada di gudang Pickles Auction, Jalan Klang Lama untuk dilelong. Sedih.

Sebenarnya, apa yang kami temui di gudang tersebut bukan hanya tiga kereta ini sahaja, malah Proton turut menghantar banyak lagi model-model konsep yang rare dan agak gempak satu ketika dahulu, bersama berberapa lagi prototaip Lotus.

Terlebih dahulu, kami berterima kasih kepada pihak Pickles Auction kerana membenarkan kami membelek dan mengambil gambar kereta-kereta tersebut, dan kami berharap kereta-kereta ini akan diperolehi oleh orang-orang yang sepatutnya dan kita boleh melihatnya kembali selepas ini dalam keadaan lebih baik. Harap-haraplah.

Untuk gambaran yang lebih jelas, ada baiknya saya terangkan dulu kepada anda apa sebenarnya Pickles Auction. Syarikat ini sebenarnya berasal dari Australia dan sudah pun beroperasi selama lebih dari 50 tahun. Mereka telah memulakan operasi di Malaysia sejak 2017 – ini adalah operasi pertama syarikat tersebut di luar Australia.

Jentera lumba, model <em>rare</em> Proton dan Lotus di Pickles Auction – patutkah warisan sejarah berada di sini?

Pickles Auction merupakan syarikat yang menjalankan perkhidmatan lelongan untuk kereta-kereta yang telah rosak kerana sudah lama ataupun terlibat dalam kemalangan, terutamanya dari syarikat-syarikat insuran. Semua kereta yang dihantar untuk dilelong disini diklasifikasikan dalam dua keadaan iaitu dalam keadaan skrap (tidak lagi boleh digunakan dan akan dijual kepada pembeli yang berminat pada alat ganti yang masih boleh dipakai) dan juga yang hanya dikelaskan sebagai ‘rosak’.

Menerusi apa yang diterangkan pada kami oleh Pickles Auction, bukan semua kenderaan yang telah diisytihar ‘total lost’ itu tidak boleh diperbaiki. Ada kereta yang dikelaskan ‘total lost’ kerana kos untuk memperbaikinya semula adalah lebih tinggi dari nilai perlindungan dan nilai semasa kereta tersebut, atau Beyond Economic Repair (BER).

Proses lelongan ini berlangsung dalam dua cara, sama ada anda datang sendiri atau secara atas talian menggunakan aplikasi atas talian yang boleh anda muat turun – namun kedua-duanya akan berlangsung serentak.

Anda pernah tonton rancangan realiti TV dari luar negara berkenaan restorasi kereta rosak/kemalangan yang dibeli secara lelongan seperti “Dallas Car Shark”? Apa yang saya saksikan di Pickles Auction ini adalah sama seperti rancangan TV tersebut, tak sangka ada juga tempat macam ni di Malaysia, siap tukang lelong pun boleh buat gaya yang sama!

Jentera lumba, model <em>rare</em> Proton dan Lotus di Pickles Auction – patutkah warisan sejarah berada di sini?

Kereta-kereta yang dikelaskan sebagai ‘rosak’ dan berjaya dilelong ini biasanya akan diperbaiki semula – bukan semua bengkel boleh melakukan proses restorasi ini, kerana hanya bengkel-bengkel yang telah mendapat pengiktirafan dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sahaja yang dibenarkan untuk melakukannya.

Setelah siap diperbaiki dan direstorasi, kereta-kereta berkenaan perlu menjalani pemeriksaan B5 di Puspakom barulah ia boleh dijual semula – proses ini adalah sah disisi undang-undang dan bukannya aktiviti penipuan.

Pickles turut menyediakan perkhidmatan melelong semula kereta-kereta yang telah siap direstorasi tersebut, dan mereka telah menunjukkan berberapa kereta yang akan dilelong semula kepada kami – kebanyakkannya memang nampak macam baru tanpa kesan kemalangan. Pickles sendiri akan melakukan pemeriksaan 1,000 point sebelum menerima kenderaan tersebut untuk dilelong.

Pickles turut menjelaskan, mereka telus dan tidak pernah menyembunyikan fakta bahawa kereta-kereta tersebut pernah terlibat dalam kemalangan. Jika anda berjaya membida kereta yang telah direstorasi berkenaan, anda akan diberi masa selama tujuh hari untuk menjelaskan bayaran dan mengambil kereta tersebut.

Perlukan pembiayaan pinjaman bank? Mereka turut ada panel bank untuk anda berurusan. Oh ya, Pickles Auction turut ada melelong kereta-kereta dan motosikal berkuasa tinggi yang ditarik semula oleh bank. Menurut Pickles lagi, sehingga kini mereka telah berjaya menjual lebih dari 10,000 kenderaan di Malaysia dalam lelongan 150-200 lot, disertai oleh 400 pembida.

Ok, cukup sudah kita bercakap berkenaan Pickles Auction, sekarang kita kembali semula pada topik utama iaitu kereta-kereta lumba dan bersejarah Proton yang bakal dilelong ini. Untuk kereta-kereta yang dibawa Proton ke Pickles Auction ini dikelaskan sebagai skrap kerana tidak mempunyai dokumentasi bagi membolehkan ia didaftarkan untuk digunakan di jalan raya.

Jadi, ada kemungkinan pembeli yang membelinya nanti hanya akan mengambil alat ganti yang boleh digunakan. Tetapi kami masih berharap kereta-kereta yang mempunyai nilai warisan sejarah yang tinggi akan dibeli oleh pengumpul dan terus disimpan untuk tatapan generasi akan datang. Nilai sejarah untuk tiga kereta lumba yang disebut tadi telah saya ceritakan kisahnya pada artikel sebelum ini yang boleh anda baca pada PAUTAN INI.

Antara kereta lain yang kami jumpa adalah barisan kereta-kereta yang dijana oleh enjin Petronas E01e iaitu Proton Satria GTi, Proton Putra, Proton Perdana dan juga Lotus Elise. Mengimbau kembali sejarah enjin ini, ia pada asalnya dihasilkan oleh Sauber Petronas Engineering pada tahun 1997.

Dengan pengetahuan dari perlumbaan Formula 1, enjin E01e dengan kapasiti 2.0 liter tanpa bantuan turbo ini mampu menghasilkan 204 PS/204 Nm, hampir menyamai prestasi pada enjin Honda K20A Type R. Proton memperolehi paten untuk enjin ini dari Petronas pada tahun 2012.

Enjin dengan sistem suntikan bahan api terus (GDI) yang pada asalnya dihasilkan dalam standard emisi Euro 2 ini dibangunkan lagi oleh Proton dengan sasaran untuk mencapai standard emisi Euro 6, antaranya dengan cara memadankan pengecas turbo. Sebelum kerjasama dengan Geely dimeterai pada Mei 2017, enjin yang dikemaskini dikenali sebagai NE01 tersebut dirancang untuk digunakan pada Proton Perdana generasi kedua pada awal 2018.

Ingat lagi model konsep Satria Cabriolet yang pernah di bawa ke Frankfurt Motor Show 1997 bagi menilai minat pasaran di Eropah? Agak menyedihkan, kedua-dua model konsep berwarna ungu dan emas tersebut kami temui dalam gudang Pickles ini.

Kami juga turut menjumpai sebuah Proton Exora yang diklasifikasikan sebagai kereta elektrik sepenuhnya (EV). Apa yang kami tahu, satu-satunya Exora yang dijana oleh kuasa elektrik sepenuhnya adalah model prototaip Exora Range Extender Electric Vehicle (REEV). Namun disebabkan tuil untuk membuka penutup bonet yang telah rosak, kami tidak dapat mengesahkan ia benar-benar Exora REEV.

Sebelum Nissan memperkenalkan teknologi Range Extender ini pada model-model e-Power seperti Note dan Kicks, Proton sebenarnya telah meneroka teknologi ini sebelum tahun 2010. Teknologi Range Extender ini berfungsi seakan “generator pasar malam”, di mana sebuah enjin petrol kecil diletakkan pada kereta tersebut hanya untuk mengecas bateri, manakala roda digerakkan sepenuhnya menggunakan motor elektrik.

Exora REEV tersebut dibekalkan dengan satu enjin rotary bersaiz kecil untuk mengecas bateri. Untuk bergerak, ia diberikan dua buah motor elektrik menghasilkan kuasa keseluruhan 94 hp/220 Nm. Exora REEV ini pernah di bawa ke UK pada November 2010 untuk menyertai Royal Automobile Club (RAC) Future Car Challenge, dan ia memenangi anugerah “Best Range Extender EV” dalam acara tersebut.

Selain dari kereta-kereta ini, Proton turut menghantar dua lagi kereta yang agak menarik perhatian kami ke Pickles Auction ini; sebuah Proton Chancellor (Waja yang dipanjangkan dengan enjin V6 dari Perdana) yang tempat duduknya masih berbalut plastik, dan sebuah lagi Proton Saga 12V dengan kondisi badan yang cukup cantik – karat hanya naik pada kawasan bumbung yang diberikan gam silikon.

Namun ada juga kereta yang ditemui di sini kami rasa patut Proton lupuskan bagi mengurangkan kesesakan di ruang simpanan mereka. Kereta-kereta berkenaan adalah unit yang telah diberikan kepada pelajar-pelajar institut pengajian tempatan dalam pertandingan-pertandingan kemahiran yang dianjurkan. Kalau ada anda nampak kereta-kereta dengan rekaan pelik-pelik dalam gambar yang kami ambil ini, itulah kereta-kereta yang kami maksudkan dan ia bukan rekaan dari pereka-pereka sebenar Proton.

Akhir sekali, pada kami sendiri, memang agak mengecewakan untuk melihat kereta-kereta dengan warisan sejarah yang sepatutnya di bawa untuk tatapan generasi seterusnya ini berakhir di satu pusat lelongan yang penuh dengan kereta-kereta yang terlibat dalam kemalangan. Mungkin sudah terlambat untuk berharap kesemuanya pulang ke tempat sepatutnya seperti galeri atau muzium. Tapi seperti yang kami nyatakan tadi, kami masih berharap kereta-kereta tersebut akan sampai ke tangan orang-orang yang menghargai sejarahnya.

Apa pula perasaan anda setelah melihat gambar-gambar ini? Kongsikan pendapat anda pada ruangan komen.

GALERI: Kereta rali bersejarah Proton Motorsport di Pickles Auction, Jalan Klang Lama

GALERI: Kereta Proton dan Lotus dengan enjin Petronas E01 di Pickles Auction, Jalan Klang Lama

GALERI: Kereta bersejarah Proton di Pickles Auction, Jalan Klang Lama

GALERI: Kereta konsep pertandingan kemahiran Proton di Pickles Auction, Jalan Klang Lama

GALERI: Pickles Auction, Jalan Klang Lama

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

 

Add a comment

required

required