Warisan sejarah Proton Motorsports – patutkah ia dipandang ringan tanpa diwujudkan satu galeri khas?

Warisan sejarah Proton Motorsports – patutkah ia dipandang ringan tanpa diwujudkan satu galeri khas?

Sebagai peminat sukan permotoran, saya bukan sahaja berminat terhadap teknologi terkini, malah nerd seperti saya juga sangat berminat dengan warisan sejarah sukan permotoran satu-satu pasukan atau sesuatu jenama. Sejarah-sejarah dalam sukan permotoran ini tidak boleh dianggap enteng, kerana apa yang diceritakan akan menjadi imej sesuatu jenama itu pada masa hadapan.

Kita tengok sahaja apa yang Subaru buat – dari sebuah jenama yang membangunkan sistem pacuan empat roda sinonim dengan kegunaan petani pada era 70’an, kini mereka ‘melekat’ dengan imej sistem AWD yang dihasilkan menerusi kejuaraan rali dunia setelah apa yang ditempa dalam WRC pada era 90’an, walaupun kini sudah menarik diri lebih 10 tahun dari perlumbaan berkenaan.

Proton apa kurangnya, jenama automotif nasional kita ini pernah menjadi gergasi perlumbaan rali dalam rantau Asia Pasifik, malah kita pernah melahirkan juara dunia dalam WRC! Faktanya, selain dari memiliki Lotus, apa yang telah diusahakan oleh divisi sukan permotoran Proton ini, tidak kira dari pasukan Petronas Eon Racing Team (PERT) terdahulu mahupun oleh pasukan Proton R3 sekarang adalah antara penyumbang mengapa orang awam sentiasa mengganggap Proton sangat boleh dipercayai dalam aspek pengendalian yang mantap.

Malah pihak Geely Motorsport sendiri mengakui Proton adalah salah satu jenama dalam kumpulan automotif tersebut sebagai jenama yang paling banyak warisan sejarah berkenaan sukan permotoran.

Pada saya sendiri, pasukan PERT telahpun mewarnai zaman kanak-kanak sehingga remaja dalam memupuk rasa bangga terhadap jenama dan bakat tempatan, sekaligus menaikkan rasa patriotik serta menanamkan satu kepercayaan bahawa orang kita mampu melakukan sesuatu yang sama dibuat oleh orang Jepun dan Eropah sekiranya diberikan peluang yang sepatutnya, dibuktikan apa yang telah dicapai oleh PERT dan Proton R3.

Namun, apa yang sedikit mengecewakan, dokumentasi-dokumentasi dan bahan-bahan muzium serta arkib berkaitan kejayaan Proton dalam lapangan ini agak lemah, dan sukar untuk kita menceritakan kepada generasi baharu bagaimana kehebatan orang kita seperti Karamjit Singh yang berjaya menjadi juara PWRC dalam percubaan pertamanya, serta bergelar juara APRC pada tahun yang sama.

Ya, memang di Pusat Kecermalangan Proton ada satu sudut yang menayang berberapa kereta lumba Proton seperti Satria Neo S2000, Proton Waja Evo yang menjuarai perlumbaan Merdeka Millennium Endurance. Tapi bagaimana kita nak bercerita kejayaan yang menggegarkan dunia yang pernah dicapai oleh Karamjit Singh dan krew-krew lain termasuk bos Proton PERT ketika itu Datuk Abdul Razak Dawood tanpa kehadiran jentera-jentera PERT yang lain?

Dan satu lagi perkara yang agak mendukacitakan, sebahagian kecil jentera-jentera bersejarah termasuk sebuah Proton PERT Evo VI, Proton Waja Evo dan juga Proton PERT Wira Turbo yang disimpan di tempat letak kereta berhadapan Garaj Warisan Proton (boleh dilihat jika anda melalui hadapan kilang Proton di Hicom Shah Alam) mungkin akan dilupuskan.

Warisan sejarah Proton Motorsports – patutkah ia dipandang ringan tanpa diwujudkan satu galeri khas?

Kereta-kereta tersebut sebelum ini diletakkan di ibu pejabat EON yang terletak di Glenmarie, kemudian dipindahkan dan terbiar dalam masa yang agak lama di mana ia ditempatkan sekarang. Dan menurut sumber-sumber yang dipercayai, kereta-kereta berkenaan telah pun dialihkan ke tempat yang tidak diketahui, dan mungkin akan dilupuskan tidak lama lagi.

Antara tiga kereta tersebut, Proton PERT Evo VI dengan nombor pendaftaran ‘Proton 1880’ adalah jentera yang agak mendukacitakan peminat sekiranya ia dilupuskan. Kereta tersebut adalah kerangka yang belum sempat untuk berlumba, dan ia adalah satu contoh yang paling baik bagi menceritakan apa yang telah dicapai oleh Proton PERT diperingkat dunia.

Untuk pengetahuan anda, jentera Proton PERT Evo VI sebenar yang dipandu Karamjit Singh dalam WRC (dengan nombor pendaftaran WU02 XFB), termasuk di Rally Safari 2002 sekarang dimiliki individu persendirian di UK – mujur pemilik tersebut sangat menghargai nilai sejarah kereta berkenaan dan masih mengenakan livery badan pasukan Proton PERT.

Kerangka dengan nombor pendaftaran ‘Proton 1880’ tersebut mungkin satu-satunya jentera rali Evo VI yang masih dimiliki oleh Proton, dan mendengar ia mungkin akan dilupuskan agak mengguris perasaan peminatnya.

Dua lagi jentera rali yang terbiar tersebut juga tidak kurang hebatnya. Proton Wira dengan enjin 4G63T dan sistem 4WD dari Lancer Evo berkenaan merupakan jentera yang telah memenangi Rally Ng Pilipinas di Filipina selama tiga tahun berturut-turut – 1995, 1996 dan 1997.

Manakala Waja berkenaan pula adalah antara jentera rali terawal yang dihasilkan selepas era Proton berdiri sendiri tanpa kerjasama Mitsubishi, sebelum wujudnya Satria Neo S2000. Waja yang pernah dipandu oleh Karamjit Singh ini dijana oleh enjin dan sistem 4WD dari Mitsubishi Lancer Evo IV.

Saya mengimpikan agar ada usaha dari Proton untuk menghimpunkan kesemua jentera-jentera lumba lagenda bermula dari era Saga generasi pertama termasuk ‘rasaksa’ Proton Iswara Group S, barisan Wira turbo, NA, pacuan 2WD dan 4WD, prototaip Proton Putra WRC, Satria Neo S2000 dan Iriz R5 sehinggalah ke jentera-jentera Proton R3 yang mendominasi litar Sepang dan Kejuaraan Rali Malaysia (MRC) dalam satu galeri.

Saya percaya, ramai lagi diluar sana terutamanya peminat Proton Motorsports mengharapkan galeri sebegini bukan? Lagipun ini bukan sesuatu yang asing dalam pengeluar automotif, malah jenama dari Jepun seperti Nissan, Toyota dan Honda sangat berbangga untuk menunjukkan apa yang telah dikecapi mereka dalam muzium yang bersaiz besar!

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • Dylan Ch'ng on Jul 14, 2020 at 12:04 am

    Proton’s COE car park is full of treasures.

    I wish this article also available in English.

    Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required