Sebagai memperingati pasukan Yamaha MotoGP, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) kini memperkenalkan
model versi terhad tahun 2020 bagi Yamaha Y15ZR GP Edition. Harga cadangan yang dikenakan bagi edisi ini ialah RM8,868, tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.

Dengan penampilan grafik yang mengambil ilham dari jentera lumba pasukan Monster Energy Yamaha MotoGP, Y15ZR GP Edition turut menggunakan tema warna hijau dan hitam yang sama. Setiap unit model versi terhad ini akan didatangkan dengan sijil pemilikan eksklusif serta set jam pintar Y15ZR.

Menggunakan enjin 150 cc, sejukan cecair silinder-tunggal, Y15ZR GP Edition ini menghasilkan sebanyak 15.4 PS pada 8,500 rpm dan 13.8 Nm tork pada 7,000 rpm. Kotak gear lima-kelajuan kemudiannya menyampaikan kuasa ke roda.

Menggunakan rim 17-inci dengan saiz tayar hadapan 90/80 manakala di belakang 120/70, model ini menggunakan tetapan fork teleskopik serta suspensi monoshock. Brek pula menggunakan jenis cakera hidraulik di depan dan belakang.

Lain-lain data termasuk ketinggian pelana 780 mm dengan berat 117 kg, dengan kapasiti tangki minyaknya ialah 4.2-liter. Model edisi terhad ini dijangka akan dipamerkan di bilik pameran pengedar sah HLYM bermula bulan ini.