TUNGGANG UJI: Yamaha Y15ZR 2019 (V2) – apakah sebenarnya yang membuatkan ia jadi idaman?

TUNGGANG UJI: Yamaha Y15ZR 2019 (V2) – apakah sebenarnya yang membuatkan ia jadi idaman?

Sudah lebih tiga tahun Y15ZR berada dalam pasaran Malaysia dan nampaknya Yamaha tahu bagaimana untuk mengekalkan momentum populariti yang ada dengan pengenalan versi facelift 2019 pada waktu yang tepat.

Sebelum ia menjadi lesu, versi baru Y15ZR yang lebih dikenali sebagai V2 masuk ke dalam pasaran April lalu dan kembali menghangatkan keadaan. Pesaing terdekat model ini, iaitu Honda RS150R pula masih lagi dalam keadaan sama.

Kami tahu, model facelift Honda RS150R akan muncul di Vietnam 13 Julai ini, tapi untuk ia tiba di Malaysia, mungkin akan mengambil masa beberapa bulan lagi, ataupun mungkin saja tahun depan. Dalam selang masa itu, Y15ZR pastinya dapat menikmati pasaran dengan senang.

Di manakah keistimewaan Y15ZR V2 ini? Paling jelas yang boleh dilihat adalah bahagian lampu utamanya, yang mempunyai bentuk berlainan dan menggunakan sistem LED. Walaupun dari jauh pada waktu malam, dengan bahagian utama itu mempunyai nyalaan dua lampu dan di bawahnya terdapat jalur LED lampu siang, kita sudah boleh tahu itu adalah Y15ZR V2.

Sejujurnya waktu model ini pertama kali muncul di Vietnam, kami berpendapat rekaan lampu ini tidak begitu mengujakan, malah lampu Y15ZR versi asal adalah lebih menarik. Tapi nampaknya peminat di Malaysia mempunyai anggapan berbeza dan ia semakin digilai.

TUNGGANG UJI: Yamaha Y15ZR 2019 (V2) – apakah sebenarnya yang membuatkan ia jadi idaman?

Beralih pula ke bahagian dalam yang boleh dilihat oleh penunggang waktu berada atas motosikal, Y15ZR V2 ini menggunakan panel meter LCD satu warna yang bermakna semua paparan adalah digital. Walaupun nampak kemas dengan satu skrin sahaja, kami merasakan panel meter NVX 155 adalah lebih menarik kerana mempunyai lampu latar berwarna biru.

Sebenarnya, bacaan kelajuan, kedudukan gear dan jarak perjalanan (trip meter) Y15ZR sebelum ini juga sudah dipaparkan secara digital, tapi untuk model V2 ini, tahap rpm juga dimasukkan sekali dalam panel digital itu, sekaligus menggantikan tolok analog dengan jarum sebelum ini.

Dalam pelbagai keadaan, meter ini boleh dilihat dengan jelas, dan sebagai tambahan kepada maklumat yang telah dinyatakan tadi, pengguna juga boleh melihat kadar penggunaan bahan api purata dan semasa. Satu yang kekurangan ialah meter ini tidak mempunyai penanda tahap merah rpm ataupun shift light.

Pergi ke tepi, anda dapat melihat Y15ZR V2 ini sekarang menggunakan butang kawalan yang lebih moden berbanding sebelumnya. Di bahagian kiri, selain butang hon dan lampu penunjuk arah, terdapat juga butang lampu tinggi, yang anda boleh kuncinya pada kedudukan tinggi sepanjang masa ataupun tekan dan lepas untuk menghasilkan seperti kelipan. Ia dipanggil sebagai passing light dan berguna untuk anda memberi amaran kepada kenderaan lain ataupun memotong.

Di bahagian kanan juga terdapat dua butang baru. Jika sebelum ini pada bahagian pemegang kanan Y15ZR cuma terdapat butang pemula enjin, sekarang ia ditambah dengan butang lampu kecemasan (hazard light) serta juga butang mematikan sistem elektrik motosikal (kill switch).

TUNGGANG UJI: Yamaha Y15ZR 2019 (V2) – apakah sebenarnya yang membuatkan ia jadi idaman?

Perbezaan lain yang boleh dilihat terus dengan mata kasar adalah tayar hadapan Y15ZR V2 ini lebih tebal, iaitu bersaiz 90/80 sedangkan sebelum ini ia cuma menggunakan tayar 70/90. Bagi memastikan ruang tayar itu mencukupi, penghadang lumpur (fender) juga dijadikan lebih besar. Tayar belakang masih lagi bersaiz sama iaitu 120/70. Hasil daripada semua perubahan ini, berat Y15ZR V2 juga bertambah sebanyak 2kg, menjadi 117 kg.

Kami ada bertanyakan kepada pekerja teknikal Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) sendiri, selain daripada bahagian-bahagian yang telah disebutkan tadi, ada atau tidak perubahan pada Y15ZR V2 ini? Mereka berkata tidak. Tetapi, melalui maklum balas orang ramai dan perhatian kami, ternyata ada lagi yang berubah.

Bahagian pertama diketahui hasil daripada sembang kami dengan pekerja di TuneBoss. Jika anda ingat, satu masa dahulu pernah tular bagaimana orang boleh menghidupkan Y15ZR secara mudah tanpa kunci dengan menyeluk ke dalam bahagian depannya dan memintas wayar tertentu.

Untuk model baru ini, Yamaha telah memperelok bahagian itu, di mana soket wayar tersebut, berserta unit pengawal enjin (ECU) ditutup dengan perumah baru. Ia mungkin satu naik taraf yang kecil dan tidak boleh dilihat, tetapi sekurang-kurangnya boleh menyedapkan sedikit hati pemilik ‘kapcai panas’ ini.

Kemudiannya, ada yang mendakwa lengan ayun dan fork hadapan Y15ZR V2 berbeza berbanding Y15ZR versi asal. Perkara ini kami tidak dapat buktikan, tapi melihat kepada risalah jualan, jarak antara roda model baru dan model lama masih lagi sama iaitu 1,290 mm.

TUNGGANG UJI: Yamaha Y15ZR 2019 (V2) – apakah sebenarnya yang membuatkan ia jadi idaman?

Kemudiannya, waktu Y15ZR V2 baru dilancarkan di Vietnam, ia diberitahu mempunyai suspensi yang ditala semula, sekaligus menjadikan tinggi tempat duduknya meningkat sebanyak 15 mm. Dalam risalah jualan di sana juga ia dinyatakan dengan jelas. Tetapi, untuk negara kita, dalam risalah jualan, ia masih menyatakan tinggi yang sama dan kami tidak pasti adakah sebenarnya terdapat ralat ataupun memang tiada perubahan. Walaupun begitu, apabila diletakkan bersebelahan dengan model lama, Y15ZR V2 ini memang nampak lebih tinggi.

Pada bahagian enjin, tiada perubahan yang dilakukan dan ia masih menggunakan unit satu silinder SOHC penyejukan cecair 150 cc, bersama padanan kotak gear lima kelajuan, mampu menghasilkan 15.4 PS pada 8,500 rpm dan 13.8 Nm tork pada 7,000 rpm. Tiada yang istimewa pada enjin ini, dan menurut rakan kami di TuneBoss, ia sebenarnya sama sahaja dengan enjin pada model FZ150i.

Apabila dikerah dalam keadaan standard atas jalan, Y15ZR V2 boleh mencecah laju maksimum 137 km/j mengikut meternya, dengan tahap rpm maksimum 10,000 bagi setiap gear. Walaupun begitu, apabila naik ke atas mesin dyno, ia menunjukkan kelajuan maksimum 128 km/j manakala kuasa pula 13.9 hp pada 9,114 rpm dan 12.2 Nm tork pada 7,342 rpm. Sengaja kami bawa motosikal ini untuk ujian dyno, sekurang-kurangnya bagi mereka yang sudah mengubah suai motosikal masing-masing, anda tahu apa catatan sebenar Y15ZR V2 dalam keadaan asal keluar dari kilang.

Disebabkan asas motosikal ini masih sama, tiada banyak perubahan yang dapat dirasakan. Tindak balas enjin ini masih lagi lancar dan lembut, klac cukup ringan untuk ditarik dan kuasa brek juga mencukupi. Tapi yang lebih kami gemari adalah dengan tayar yang lebih tebal di hadapan, tunggangan dapat jadi lebih selesa dan mengambil selekoh juga terasa lebih yakin.

Dengan isian penuh tangki 4.2 liter pada motosikal ini, kami dapat mencatat perjalanan sekitar 130 km. Walaubagaimanapun, seperti biasa, catatan ini boleh menjadi lebih baik bergantung kepada cara anda memulas minyak dan menggunakan gear dengan betul.

TUNGGANG UJI: Yamaha Y15ZR 2019 (V2) – apakah sebenarnya yang membuatkan ia jadi idaman?

Tidak dapat dinafikan, Y15ZR sememangnya sebuah motosikal yang mempunyai rupa menarik, tetapi ia juga datang dengan satu ‘pakej’. Semasa kami baru membawa pulang Y15ZR V2 ini, perasaan kami sudah mula tidak tenang memikirkan keselamatannya. Kalau boleh, kami mahu memastikan ia berada di depan mata sepanjang masa supaya tidak ‘lesap’. Apatah lagi ia adalah unit yang dipinjamkan oleh HLYM, dan menggunakan warna paling dicari ramai iaitu Striking Cyan.

Selain daripada penampilannya, kami juga masih tertanya kenapa Y15ZR V2 boleh mencetuskan satu fenomena di kalangan penggemar motosikal di Malaysia. Kalau mahu mengikutkan spesifikasi atau kemampuan, ada saja model setara dengannya yang mempunyai teknologi lebih moden ataupun kapasiti lebih besar, tetapi masih juga tidak begitu popular.

Ada kemungkinan juga, alat ganti modifikasi model ini bersepah dalam pasaran dan seterusnya membuatkan pemilik seronok untuk mengubah suai jentera masing-masing. Jika masih belum berkemampuan untuk mengeluarkan belanja, mungkin mereka sudah cukup senang mengetahui mereka mempunyai jentera yang berpotensi. Kalau anda, manakah yang menjadi pilihan antara Y15ZR, Honda RS150R, SYM VF3i atau Benelli RFS150i.

Harga yang dikeluarkan oleh HLYM waktu Y15ZR V2 ini dilancarkan untuk pasaran Malaysia adalah RM8,168 tidak termasuk insurans, namun kami ada membuat tinjauan berkenaan harga yang berbeza di antara kedai. Ada yang mencecah sehingga RM10,200 dan anda boleh melihat artikelnya di sini.

Selain daripada itu, kami juga pernah melakukan perbandingan spesifikasi antara Y15ZR versi asal dengan semua pesaingnya, dan anda boleh melihatnya di sini. Bagi yang lebih gemar menonton video pula, kami ada sediakannya di bawah.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 

Comments

 

Add a comment

required

required