Sime Darby Auto ConneXion telah mengumumkan satu lagi varian Ford Ranger T6 2020 telah pun berada di pasaran. Varian Ranger XLT Plus merupakan model Ranger 2020 yang diperkenalkan pada tahun ini selepas pengenalan Raptor, WildTrak dan FX4.

Semakan yang dibuat terhadap Ranger XLT Plus facelift ini melibatkan rekaan baharu bagi lampu utamanya, seperti mana yang ditampilkan pada Raptor dan WildTrak. Ia merangkumi kanta projektor persegi dan unit pencahayaan yang lebih terang dengan unit bi-LED yang menawarkan 17% pencahayaan penembusan yang lebih baik untuk meningkatkan penglihatan pada waktu malam. Unit LED terbabit adalah bagi menggantikan konfigurasi lampu tinggi halogen/lampu utama xenon yang digunakan pada model terdahulu.

Bukan itu sahaja, XLT Plus turut menerima kemasan bampar dengan warna badan baharu bersama lip bumper rona perak seperti yang ditampilkan pada WildTrak. Varian ini turut menerima gril krom baharu yang didatangkan secara eksklusif.

Selain itu, semuanya masih kekal sama seperti mana model sebelumnya. XLT Plus dijanakan oleh enjin 2.0 liter EcoBlue turbodiesel, dengan konfigurasi turbo-tunggal yang menawarkan kuasa hingga 180 PS dan tork 420 Nm. Penjana kuasa ini masih dipadankan dengan transmisi automatik 10-kelajuan.

Kelengkapan standard termasuklah kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, Easy Lift Tailgate, sistem infotainmen SYNC 3 dengan skrin sesentuh lapan-inci, enam pembesar suara dan kamera undur serta tempat duduk balutan kulit, pendingin hawa auto dwi-zon dan sistem MyKey. Untuk kit keselamatan, XLT Plus dilengkapi dengan dua beg udara, ABS, EBD, kawalan menurun bukit dan bantuan naik bukit.

Terdapat lima warna luaran yang ditawarkan untuk Ranger XLT Plus facelift ini iaitu Aluminium Metallic, Arctic White, Lightning Blue, Meteor Grey dan Absolute Black. Trak pikap ini ditawarkan pada RM129,888 (harga atas jalan, tanpa insurans), dan sama seperti barisan Ranger lain, ia didatangkan dengan waranti tiga-tahun atau 100,000 km, yang mana tiba terlebih dahulu.

Tags: