Sejak penghujung tahun 2018, BMW telah mula memperkenalkan aksesori tambahan dan prestasi M untuk superbike S 1000 RR (RR). Kini, semasa pelancaran dua model kereta M3 G80 dan M4 G82, orang ramai dikejutkan lagi dengan pengenalan M 1000 RR (dipanggil ringkas sebagai M RR).
Ini adalah model M pertama yang menggunakan asas daripada S 1000 RR dan pelbagai bahagiannya dipertingkat untuk lebih prestasi. Antara yang utama adalah enjin empat silinder 999 cc padanya kini mampu menghasilkan kuasa 212 hp pada 14,500 rpm dan 113 Nm tork pada 11,000 rpm. Enjin ini juga diberitahu mempunyai nisbah mampatan lebih tinggi (13.5:1), pelbagai bahagian di dalam yang dinaik taraf, dan lebih berkuasa daripada RR pada tahap rpm antara 6,000 hingga 15,100.
Untuk menghasilkan lebih banyak cengkaman dan memastikan kuasa dapat disampaikan ke atas jalan secara efektif sepanjang masa, panel badan motosikal ini dipasang dengan winglet gentian karbon serta penghadang angin jenis menggelembung yang lebih tinggi.
Melalui M RR ini juga, BMW buat pertama kalinya telah memasang brek prestasi M pada motosikal, yang dibangunkan dengan pengalaman BMW Motorrad dalam dunia perlumbaan, terutamanya Superbike World Championship. Angkup brek ini menggunakan warna biru, berserta logo M dan dipadankan bersama rim gentian karbon M untuk prestasi terbaik.
Panel instrumen TFT 6.5 inci M RR, adalah sama dengan RR tetapi ia mempunyai grafik animasi permulaan M. Kemudiannya, jika pemilik menaik taraf kepada pakej M Competition, ia boleh disambung dengan M GPS data logger dan laptrigger untuk memberikan informasi terperinci prestasi di dalam litar.
Barangan lain yang termasuk dalam pakej M Competition adalah komponen aluminium seperti pada tempat letak kaki, lengan ayun yang lebih ringan 220 gram, rantai M Endurance serta penutup untuk tempat duduk belakang.
Kembali kepada bahagian enjin, antara bahagian yang dinaik taraf dan menjadi penyumbang kepada peningkatan prestasi dan kuasanya adalah injap titanium, piston 12 gram lebih ringan, rocker arm lebih kurus dan ringan serta connecting rod titanium.
Motosikal ini juga dilengkapi dengan sistem ekzos titanium 3.7 kg lebih ringan, klac anti-hopping, tujuh mod tunggangan (Rain, Road, Dynamic, Race dan Race Pro 1-3), Dynamic Traction Control (DTC), DTC Wheelie Control, Engine Braking Control, Shift Assistant Pro (quickshifter) yang boleh diterbalikkan untuk penukaran jenis GP, bateri M serba ringan, Adaptive Cruise Control serta suspensi yang dinaik taraf dengan kinematik Full Floater Pro.
Harga M RR masih belum didedah tetapi tentunya ia dijangka dijual pada harga lebih mahal berbanding RR yang dilengkapi dengan pakej M sebelum ini. Walaubagaimanapun, harga model yang boleh digunakan atas litar dan jalan biasa ini dijangka tidak akan melebihi HP4 Race.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.