Bulan lalu, Volkswagen telah memberitahu akan melancarkan sebuah SUV baru pada bulan Oktober dan kini satu lagi teaser ditunjukkan. Menurut VW, corak pelekat samaran yang digunakan ini dibuat oleh ketua bahagian rekaan Volkswagen Amerika Selatan, Jose Pavone menggunakan warna Blue Jewel dan Dark Shadow.
Gambar ini memberikan kita petunjuk awal bentuk SUV baru yang akan diletakkan di bawah Tiguan ini, dan antara ciri rekaan menarik adalah jalur lampu di bahagian tengah gril, yang bersambung sehingga ke DRL pada lampu utama. Bampar pula menggunakan bukaan udara yang besar di bawah sementara yang di bucu nampak lebih agresif.
Profail bahagian tepi lebih mirip kepada Skoda Karoq dan Seat Ateca yang dijual dan Eropah, ataupun Tharu yang dipasarkan di China. Bentuk lampu belakang juga hampir serupa. Bampar belakang mengikuti konsep bampar hadapan, dan diperkemaskan lagi dengan diffuser serta muncung ekzos di bucu.
Sama seperti Karoq, Ateca dan Tharu, Taos ini akan dibina atas platform MQB, dengan model pasaran Amerika Selatan akan dipasang di Argentina sementara model pasaran Amerika Utara akan dipasang di Mexico. Menurut laporan, model Amerika Utara akan menggunakan enjin empat silinder 1.5 liter turbo TSI berkuasa 158 hp dan 250 Nm tork, bersama padanan transmisi automatik lapan kelajuan untuk menghantar kuasa ke dua roda hadapan.
Bagi model pasaran Amerika Selatan pula, ia akan menggunakan enjin 1.4 liter TSI berkuasa 148 hp, yang digabungkan bersama transmisi automatik enam kelajuan dan pacuan roda hadapan. Ia kemudiannya akan disertai oleh model yang menggunakan enjin 2.0 TSI. Taos akan ditunjukkan kali pertama 13 Oktober ini sementara pelancaran untuk pasaran Amerika Selatan dijangka berlaku pada suku kedua 2021, dan diikuti Amerika Utara beberapa bulan selepas itu.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.