Volkswagen Tiguan 2020 diperkenalkan – kelengkapan dan imej dipertingkat; PHEV baharu, varian R 320 PS

Volkswagen Tiguan 2020 diperkenalkan – kelengkapan dan imej dipertingkat; PHEV baharu, varian R 320 PS

Susulan pengenalan Volkswagen Arteon baharu pada minggu lalu, pengeluar kereta Jerman turut menampilkan model facelift pertama Tiguan generasi kedua, dengan diberikan peningkatan gaya dan beberapa ciri kelengkapannya.

Suntikan yang lebih segar diberikan pada bahagian hadapan yang direka semula dengan menampilkan gril yang lebih besar dengan lampu utama LED baharu berserta lampu nyalaan siang yang seakan gaya Golf Mk8 terkini. Untuk bahagian belakangnya pula, perkataan Tiguan ditempatkan di tailgate seperti mana model terkini Volkswagen yang lain – selain itu ditampilkan sekali lampu signitur yang lebih moden untuk lampu belakang LED.

Foto yang dipaparkan ini merupakan Tiguan dengan pakej kemasan R-Line, yang kelihatan lebih agresif pada bampar hadapan dengan apron bawah lebar sepenuhnya, melitupi corong pengambilan tengah. Bamparnya juga menerima kemasan warna kontras pada hujungnya dengan kepingan menegak pada sudutnya untuk tujuan aerodinamik.

Selain itu, rekaan yang lebih ringkas ditampilkan untuk bahagian sisinya termasuk dengan garisan karakter dan logo R, yang turut diaplikasikan pada gril. Seperti Arteon, pakej R-Line untuk Tiguan ini turut didatangkan bukaan muncung ekzos berbentuk trapezoid, dengan kelainan pada R-Line ialah pembahagian rekaan itu kepada empat seksyen.

Volkswagen Tiguan 2020 diperkenalkan – kelengkapan dan imej dipertingkat; PHEV baharu, varian R 320 PS

Di dalamnya pula, rekaan SUV ini dikekalkan seperti sebelum ini, ini termasuklan kawalan sentuhan pada roda stereng baharu dan sistem Climatronic, sementara sistem infotainmen kini dipertingkatkan dengan Modular Infotainment Matrix (MIB3) yang terkini.

Sistem infotainmen kini didatangkan dengan paparan lapan-inci secara standard, tetapi diberikan saiz yang lebih besar iaitu unit 10.25-inci untuk varian yang lebih tinggi. Turut ditampilkan ialah Volkswagen Digital Cockpit (kluster instrumen digital), sistem pencahayaan ambien 15-warna dan sistem audio premium Fender 480-watt.

Bagi aspek keselamatam, dengan adanya Travel Assist membolehkan Tiguan dipacu separa automatik dalam kelajuan dari sifar ke 210 km/j, dengan menggunakan kawalan kelajuan adaptif dan juga bantuan kekal lorong.

Volkswagen Tiguan 2020 diperkenalkan – kelengkapan dan imej dipertingkat; PHEV baharu, varian R 320 PS

Bagi enjinnya pula, pasaran Amerika Syarikat bakal menerima unit EA888 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder petrol dengan kuasa 186 PS (184 hp) dan tork 300 Nm, dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan.

Untuk pelanggan di Eropah pula, akan menerima Tiguan R baharu yang dijanakan oleh enjin yang sama bagi Arteon R iaitu unit EA288 2.0 liter empat-turbo dengan 320 PS (316 hp) dan 420 Nm. Benua ini juga akan menerima varian plug-in hybrid baharu dengan 245 PS (241 hp) seperti penjana kuasa eHybrid yang dipadankan dengan enjin 1.4 liter empat-silinder TSI, motor elektrik dan kotak gear dwi-klac kering enam-kelajuan.

Jualan bagi Tiguan di Eropah dijadualkan pada tahun ini, dengan versi jarak roda standard (2,681 mm) akan ditawarkan di rantau berkenaan. Manakala di USA pula akan terus menerima model dengan jarak roda yang lebih panjang (2,791 mm) dengan pilihan tiga barisan tempat duduk (kapasiti tujuh penumpang), tetapi pelancaran rasminya hanya dijangka pada musim luruh 2021 untuk model tahunan 2022.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required