Volkswagen Arteon facelift 2020 diperkenal — varian PHEV dan 320 PS R baru serta model Shooting Brake

Volkswagen Arteon <em>facelift</em> 2020 diperkenal — varian PHEV dan 320 PS R baru serta model Shooting Brake

Akhirnya, Volkswagen telah mendedahkan Arteon versi facelift terbaru. Banyak pembaharuan yang dilakukan, dari penggayaan hingga kepada pengenalan bentuk badan yang baru termasuk versi R dengan prestasi yang memukau.

Arteon terbaru ini akan ditawarkan dalam bentuk Shooting Brake – sebuah rekaan cenderung ke arah wagon yang kini menyertai rekaan fastback sedia ada bagi model sama. Dengan bahagian bumbung yang lebih panjang, versi wagon ini menawarkan lebih praktikaliti dan kapasiti ruang kargo berbanding versi fastback.

Menurut Volkswagen, dengan kedudukan kerusi seperti sedia ada, versi Shooting Brake menawarkan keluasan kargo 565 liter (563 liter bagi fastback) dan maksimum sehingga 1,632 liter jika kerusi belakang dilipat (1,557 liter). Panjang maksimum ruang barangan berkenaan ialah 2,090 mm.

Volkswagen Arteon <em>facelift</em> 2020 diperkenal — varian PHEV dan 320 PS R baru serta model Shooting Brake

Dari segi reka bentuk, versi Shooting Brake ini tidak berbeza terlalu ketara daripada rekaan fastback biasa sebelum ini, melainkan rekaan bumbungnya. Kemaskini wajah depan bagi model facelift ini ialah jalur lampu yang bersambung pada lampu utama (pilihan termasuk IQ.Light LED matriks) serta rekaan lampu belakang yang diperbaharui.

Bagi tingkat kemasan Elegance, apron dengan kini datang dengan inlet bersegi pada sudutnya. Sementara bagi R-Line, elemen bilah menggantikan rekaan berkenaan bagi menyuntik imej yang lebih agresif. Di belakang, kedua-dua tingkat kemasan ini dilengkapi bukaan muncung ekzos berbentuk trapezoid, dengan kelainan pada R-Line ialah pembahagian rekaan itu kepada empat seksyen.

Di dalam, tata letak papan pemuka Arteon diberi kemaskini yang agak banyak, misalnya pada rekaan dan kedudukan corong udara yang tidak lagi bersekali dengan kemasan tiga “bilah” yang dipanjangkan hingga ke hujung. Selain itu tiada lagi jam analog. Kini turut hadir ialah kawalan sentuhan HVAC di bawah skrin infotainmen lapan-inci yang lebih moden, serta stereng baru juga dengan kawalan sentuhan.

Volkswagen Arteon <em>facelift</em> 2020 diperkenal — varian PHEV dan 320 PS R baru serta model Shooting Brake

Sistem infotainmen MIB3 yang digunakan juga lengkap dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, serta sistem pencahayaan suasana kabin 30-warna, pengecas telefon tanpa wayar dan sistem audio premium Harman Kardon 700-watt.

Penambahbaikan teknologi termasuk Travel Assist yang membolehkan sebahagian pemanduan automatik dalam julat kelajuan 0 ke 210 km/j. Cermin pandang belakangnya juga datang dengan fungsi bucu yang baru yang boleh memperluas imej dari kamera pada paparan infotainmen, dari 90-darjah hingga 170-darjah.

Untuk enjin, varian R ditawarkan bagi kedua-dua bentuk badan fastback dan Shooting Brake sebagai varian tertinggi. Ia dilengkapi enjin EA288 2.0 liter tubocaj empat-silinder yang menjana 320 PS (316 hp) dan 420 Nm tork. Saluran kuasa ialah melalui kotak gear DSG tujuh-kelajuan klac berkembar dan sistem pacuan semua roda – yang menampilkan teknologi R-Perfaormance Torque Vectoring yang membahagi penyampaian tork antara gandar depan dan belakang serta antara kedua-dua roda belakang.

Arteon R juga hadir dengan penyerap hentak adaptif yang 20 mm lebih rendah berbanding yang standard, dengan brek yang lebih berkuasa. Penampilannya juga sedikit berbeza berbanding varian lain, dengan bahagian inlet yang lebih besar di depan serta diffuser belakang yang lebih ringkas untuk semua empat hujung ekzos yang ada.

Selain itu, varian eHybrid plug-in hybrid turut ditawarkan, dengan sistem janaan dipinjam dari Passat GTE. Ini termasuk unit enjin 1.4 liter empat-silinder TSI (156 PS atau 154 hp) dan motor elektrik (115 PS atau 113 hp), dengan kuasa disalurkan ke roda depan melalui kotak gear automatik klac berkembar DQ400 enam-kelajuan.

Digabungkan, output keseluruhannya ialah 218 PS dan ia menawarkan jarak 53 km untuk janaan elektrik sepenuhnya dari bateri 13 kWh, dengan had laju 140 km/j dalam keadaan tersebut. Bergantung kepada pasaran, Arteon ditawarkan dengan pilihan enjin 1.5 liter dan 2.0 liter empat-silinder petrol dan juga 2.0 liter turbodiesel, yang boleh digandingkan dengan sistem pacuan semua roda 4Motion.

Volkswagen Arteon R 2020

Volkswagen Arteon R-Line 2020

Volkswagen Arteon Shooting Brake eHybrid R-Line 2020

Volkswagen Arteon Elegance 2020

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 

Comments

 

Add a comment

required

required