Ini kereta yang anda tidak biasa lihat. Ia adalah Kia K900, yang merupakan sebuah sedan premium jenama itu, dan ia telah ditemui oleh pembaca kami, Wemss Chin di kawasan Solaris Mont Kiara. Nampak menarik, kan?

Sebelum membuat sebarang andaian, kami mahu menyatakan bahawa kelibat K900 yang sudah didaftar ini tidak bermakna ia akan dilancarkan untuk jualan di pasaran Malaysia. Berkemungkinan ia cumalah sebuah kereta yang digunakan oleh pihak pengurusan Kia Malaysia, dan sebelum ini, mereka juga pernah berbuat perkara yang sama.

Di pasaran luar, Kia K900 yang anda lihat ini sebenarnya adalah model generasi kedua, dan ia ditawarkan dengan tiga versi enjin iaitu V6 3.3 liter 370 PS, V6 3.8 liter 315 PS, dan paling tinggi, V8 5.0 liter NA dengan kuasa 425 PS dan 520 Nm tork. Kesemuanya digabungkan bersama kotak gear automatik lapan kelajuan untuk menyampaikan kuasa sama ada ke dua roda belakang atau semua roda.

Melihat kepada dimensi, model ini mempunyai ukuran 5,120 mm panjang, 1,915 mm lebar, 1,490 tinggi dan jarak roda 3,105 mm – saiz ini hanya sedikit kecil berbanding Mercedes-Benz W222. Bergantung kepada spesifikasi dan enjin, K900 boleh mencatat berat antara 1,915 kg hingga 2,165 kg, dan ini hampir sama seperti S 450 L AMG Line.

Di bahagian dalam, ia dilengkapi dengan panel instrumen digital, skrin sesentuh infotainmen 12.3 inci, lampu suasana LED pelbagai warna, jam analog keluaran Maurice Lacroix, tempat duduk dibalut kulit Nappa serta sistem bunyi 900 watt, 17 pembesar suara Lexicon Logic7.

GALERI: Kia K900 2020 pasaran Amerika Syarikat